Pelajar matrikulasi meninggal dunia selepas pengsan ketika beri taklimat

ALOR GAJAH - Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di sini, meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang memberi taklimat sukan di kolej berkenaan, pada malam Jumaat.
Ahmad Saffiyudeen Ahamad Nzly, 19, disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam ketika sedang dirawat di Hospital Alor Gajah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, berdasarkan laporan disediakan Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMM, ketika kejadian, pelajar jurusan perakaunan itu sedang memberikan taklimat berkaitan sukan bola baling kepada peserta di dewan.
Menurutnya, sebelum itu Ahmad Saffiyudeen hadir dalam perjumpaan diadakan antara Ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) bersama semua peserta Karnival Sukan Kolej Matrikulasi Melaka (KSKMM) di dewan itu.
"Semua ahli JPP diberi tugasan memberikan taklimat sukan dan Allahyarham dikehendaki menerangkan mengenai sukan bola baling.
"Pada jam 9.30 malam, mangsa tiba-tiba jatuh pengsan dan telah diberikan rawatan kecemasan oleh beberapa pelajar dalam sesi itu yang mahir serta ahli Pertolongan Cemas St John Ambulance Malaysia bertauliah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Rahmad berkata, pelajar terbabit kemudian dikejarkan ke hospital dengan diiringi felo dan pegawai hal ehwal pelajar selain perkara itu turut dimaklumkan kepada ibu saudara mangsa.
Bagaimanapun katanya, pelajar itu disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam.
"Ketika ini proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Rahmad berkata, beliau difahamkan segala urusan berkaitan termasuk pengebumian dan kebajikan arwah diuruskan pihak kolej.
"Jenazah akan dikebumikan di Petaling Jaya, Selangor," katanya.
@sinarharianonline Seorang pelajar Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Alor Gajah, meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang memberi taklimat sukan di kolej berkenaan, pada malam Jumaat. Ahmad Saffiyudeen Ahamad Nzly, 19, disahkan meninggal dunia pada jam 11.14 malam ketika sedang dirawat di Hospital Alor Gajah. #SinarHarian #SinarTerkini #PelajarMeninggalDunia #KMM #Melaka #PelajarMatrikulasi
News / News / Documentary / BGM(912498) - Kei
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!