Wanita cedera, klip rambut tertusuk kulit kepala selepas kemalangan

CHENGDU - Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan apabila klip rambut yang dipakainya tertusuk di kulit kepalanya selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya.
Menurut laporan portal berita China 163.com, mangsa yang berusia 61 tahun dikenali sebagai Cik Du itu dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan, menyebabkan dia terjatuh ke tanah.
Walaupun tidak mengalami kecederaan serius akibat perlanggaran tersebut, klip rambut yang dipakainya patah dan sebahagian tertanam di kulit kepalanya.
Cik Du segera dikejarkan ke Hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan kira-kira jam 3.20 petang.
Doktor yang merawatnya, Dr Tian Fengming berkata, tiga gigi klip rambut itu tertanam sepenuhnya di kulit kepala mangsa, namun tidak menembusi tengkorak.
“Jika klip itu menembusi tengkorak, pembedahan saraf diperlukan untuk mengelakkan risiko kerosakan otak atau pendarahan dalaman,” jelasnya.
Beliau mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan serpihan klip tersebut dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan lebih lanjut.
Dalam pada itu, Dr Tian memberi amaran bahawa klip rambut sama ada diperbuat daripada logam atau plastik, boleh menjadi ancaman serius jika berlaku kemalangan.
“Klip ini biasanya dipakai di belakang kepala. Jika berlaku kejatuhan atau hentakan kuat, ia boleh menembusi kulit kepala dan dalam kes terburuk, menembusi tengkorak,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pemakaian klip rambut ketika bersenam, mengembara atau melakukan aktiviti fizikal yang aktif - Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!