Dadah RM1.3 juta dirampas, warga Singapura antara tiga diberkas

Kumar (tiga dari kanan) pada sidang media di IPK Johor pada Jumaat.
Kumar (tiga dari kanan) pada sidang media di IPK Johor pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini pada 6 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai jumlah keseluruhan RM3,178,258.

Menurutnya, kegiatan sindiket berkenaan terbongkar selepas seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan dalam keadaan mencurigakan ketika berjalan kaki di sekitar Johor Bahru pada jam 12.30 tengah malam.

“Hasil soal siasat, polis menyerbu sebuah kondominium di Danga Bay dan menahan seorang lelaki warga Singapura berusia 47 tahun.

"Kondominium itu dipercayai dijadikan lokasi pembungkusan dan stor penyimpanan pelbagai jenis dadah.

"Seorang lagi lelaki tempatan berusia 48 tahun turut diberkas di kawasan parkir kondominium tersebut," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine.

"Suspek tempatan yang berusia 41 tahun memiliki rekod jenayah berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek kini direman sehingga 17 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan," katanya.

Susulan tangkapan itu, Kumar berkata, polis melancarkan empat lagi serbuan di beberapa lokasi termasuk Danga Bay, Setia Indah, Pelangi Indah dan Tampoi.

Katanya, dalam operasi berkenaan, pelbagai jenis dadah berjaya dirampas termasuk 15.3 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1kg ketamin, 1.35kg syabu, 294 gram ganja, 7,800 biji pil ekstasi, 6,250 biji pil eramin 5.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM3,178,258.

“Polis percaya sindiket ini mendapatkan bekalan dari Kuala Lumpur sebelum membungkus semula dadah dalam bungkusan minuman pracampuran berperisa kopi dan coklat untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Selain dadah, polis turut merampas aset bernilai RM402,635, termasuk empat kenderaan melibatkan kereta jenis Mercedes Benz, Honda HR-V, sebuah motosikal, 14 jam tangan, barang kemas, dan juga wang tunai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!