Kes senjata api lelaki Israel: Peguam utama Avitan Shalom tarik diri

Avitan Shalom didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api. Gambar fail
Avitan Shalom didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api. Gambar fail
A
A
A

KAJANG – [DIKEMAS KINI] Selepas tiga kali tertangguh kerana isu bahasa, pembelaan dalam kes senjata api membabitkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini pada Jumaat tidak membantah sekiranya perbicaraan diteruskan dalam bahasa Inggeris.

Peguam, Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan, 39, berkata demikian ketika prosiding dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mohd Zaki Mohd Salleh.

Menurutnya, tertuduh yang beralamat di Bnei Brak, Israel berkenaan mengarahkan pasukan pembelaan bersedia dengan perbicaraan.

“Kami sudah berbincang dengan anak guam dan dia memaklumkan, jika tiada jurubahasa yang bertauliah atau fasih untuk berkomunikasi dengannya, anak guam bersedia untuk mengikuti perbicaraan dalam bahasa Inggeris,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Vince Tan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, mahkamah telah menyediakan khidmat penterjemah dalam bahasa Hebrew.

Selepas mendengar perkara itu, Mohd Zaki menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 14 hari bermula 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun serta 23 hingga 26 Jun depan.

Pada 13 Januari lalu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen ditangguhkan, kerana terdapat pertikaian daripada pihak pembelaan berhubung jurubahasa Ibrani atau Hebrew.

Ia merupakan penangguhan kali ketiga, selepas Avitan, 39, memohon supaya khidmat penterjemah disediakan di sepanjang prosiding itu berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung selama 12 hari bermula Januari iaitu 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23.

Bagaimanapun, selepas tertangguh beberapa kali, mahkamah belum menetapkan tarikh baharu untuk perbicaraan kes terbabit.

Dijangka, seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki 42 peluru di dalam tiga senjata berlainan, sekotak Shell Shock NAS3 9mm (lapan peluru) dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) tanpa lesen atau permit senjata.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!