Timbalan pengurus kanan disyaki minta rasuah direman

JOHOR BAHRU - Timbalan pengurus kanan syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disyaki meminta rasuah direman selama lima hari.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 48 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurmadiana Mamat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat.
Perintah tahanan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Tempoh reman bermula 14 hingga 18 Februari ini dan suspek akan diwakili peguamnya, Nur Syahid Abdul Malek.
Sebelum ini, suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor pada kira-kira jam 8 malam, Khamis.
Difahamkan, suspek telah menggunakan kuasanya dengan meminta wang rasuah daripada pemilik perniagaan yang berurusan di terminal feri di Johor bagi memastikan perniagaan dan operasi syarikat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

