[VIDEO] PN Kedah tidak perlu gusar 'kerajaan menanti' jika rasa kuat - Amanah Kedah

A
A
A

ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah melihat kenyataan ‘kerajaan menanti’ seharusnya tidak membuatkan Perikatan Nasional (PN) Kedah rasa gusar jika mereka kuat di negeri ini.

Pengerusinya, Asmirul Anuar Aris percaya, rakyat di negeri ini mampu menilai pihak mana yang lebih baik untuk diberikan mandat menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sedia menawarkan harapan kepada rakyat Kedah supaya dapat dirasai denyut nadi mereka jika diberi mandat.

"Kenyataan 'kerajaan menanti' tidak (seharusnya) perlu menggusarkan PN kalau mereka rasa mereka kuat.

"Tetapi hari ini, rakyat sudah dapat menilai tentang pelbagai isu contohnya loji rawatan air, bola sepak, penjaja kecil dan ekonomi," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya yang melihat tiada alasan kukuh untuk rakyat di negeri ini menukar kerajaan negeri yang terbukti berkesan dalam membawa kemajuan.

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Saifuddin Nasution mengenai PH-BN mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti'. Gambar kecil: Asmirul Anuar (kiri), Othman
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Saifuddin Nasution mengenai PH-BN mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti'. Gambar kecil: Asmirul Anuar (kiri), Othman

Menurutnya, PH dan BN yang perlu berjaga-jaga dengan jangka hayat pentadbiran Kerajaan Persekutuan kerana banyak sebab untuk pengundi menukar mereka.

Sementara itu, Setiausaha Bersama Sekretariat Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, rakyat di negeri ini tidak mahu lagi menghadapi pelbagai masalah-masalah asas dan berharap kerajaan yang mentadbir mampu memberi tawaran dan manfaat kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun mungkin hari ini setengah orang berpendapat mereka hidup selesa tetapi sebenarnya di bawah sana kita tahu bahawa mereka tak berpuas hati.

“Namun apa-apa pun, sudah tentulah macam mereka akan berusaha untuk mempertahankan apa yang mereka ada sehingga menyatakan pelbagai perkara kononnya kerajaan pusat perlu ditukar,” ujarnya.

Pada Selasa, media melaporkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH bersama BN sedang giat mempersiapkan diri sebagai ‘kerajaan menanti’ di negeri Kedah menjelang pilihan PRN seterusnya.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH dan BN perlu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah ketika ini, biarpun berada di posisi pembangkang di negeri itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!