'Tak salah pasang cita-cita sebagai ‘kerajaan menanti’, biar rakyat tentukan' - Sanusi

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Saifuddin Nasution mengenai PH-BN mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti'. (Muhammad Sanusi)
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Saifuddin Nasution mengenai PH-BN mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti'. (Muhammad Sanusi)
A
A
A

ALOR SETAR - Mana-mana parti politik boleh mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti' di Kedah kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, namun keputusan sama ada kerajaan sedia ada kekal memimpin atau sebaliknya bergantung pada pilihan rakyat pada pilihan raya.

Menurutnya, tidak salah untuk mana-mana pihak memasang cita-cita untuk mentadbir Kedah selagi mengikut proses sewajarnya.

“Tunggulah pilihan raya akan datang, masa itu tahulah kerajaan menanti kah, kerajaan menunggu kah.

“Boleh pasang cita-cita tak ada masalah, ini dunia demokrasi, mereka boleh umum line up atau khabar pada semua orang, tak ada masalah,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis amanat tahun 2025 Menteri Besar Kedah kepada pentadbiran tanah negeri di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tegaskan, pihak terbabit boleh merancang dan berusaha merampas Kedah daripada PN sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

"Menantilah sampai kiamat, selamat menanti, boleh pasang cita-cita. Siapa yang belum dapat (jadi kerajaan), dia akan kata kerajaan menanti. Siapa yang sudah terlepas nak kata apa, kerajaan yang hilang?” katanya sinis.

Pada Selasa, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan PH dan Barisan Nasional (BN) sedang mempersiapkan diri sebagai 'kerajaan menanti' di Kedah menjelang pilihan raya akan datang.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PH dan BN perlu menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kedah ketika ini, biarpun berada di posisi pembangkang di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin Nasution dilantik sebagai Pengerusi PH Kedah yang baharu pada 7 Februari bagi menggantikan Datuk Mahfuz Omar yang menggalas tanggungjawab itu sejak 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!