PRU16: Amanah minta pembahagian kerusi PH dimuktamadkan segera – Sany Hamzan

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) meminta supaya urusan pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan segera sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Sany Hamzan menegaskan, calon juga perlu diperkenalkan lebih awal bagi membolehkan gerak kerja pilihan raya dilaksanakan dengan lebih teratur.
"Calon mesti diumumkan awal. Kita juga minta supaya soal berkaitan dengan pembahagian kerusi ini dapat dimuktamadkan segera.
"Mesyuarat di peringkat PH, di peringkat Parlimen-Parlimen saya minta supaya (turut) disegerakan," katanya ketika penggulungan Pidato Presiden sempena hari kedua Konvensyen Nasional 2026 Amanah di Dewan Raja Muda Musa pada Ahad.
Bagaimanapun, Mohd Sany mengingatkan ahli supaya tidak mempertikaikan pemilihan calon apabila nama mereka diumumkan lebih awal.
“Cuma bila kita umumkan atau perkenal calon awal, tuan-tuan boleh bersetuju dan berjanji dengan kami yang tuan-tuan di bawah (di negeri) jangan datang (minta) berjumpa kepimpinan di atas.
“Nanti kita umumkan calon, (janganlah) tak boleh (tak setuju) pula. Yang ini tak boleh, yang itu tak boleh, yang depan tak boleh, yang belakang tak boleh,” ujarnya.
Mengulas persiapan jentera, Mohd Sany memaklumkan, Amanah telah mengenal pasti sebanyak 29 kawasan Parlimen sebagai fokus untuk meletakkan calon dan bertanding pada PRU16.
Beliau berkata, satu pertemuan bersama ketua-ketua Amanah kawasan, pengarah jentera operasi pilihan raya (JOP) dan pegawai pilihan raya Parlimen akan diadakan pada Disember ini bagi membincangkan persiapan di kawasan terbabit.
“Di peringkat nasional, kita dah buat keputusan ada 29 kawasan Parlimen fokus yang kita letakkan sasaran dan juga hasrat kita untuk meletakkan calon serta bertanding dalam PRU16 yang insya-ALLAH akan diadakan pada tahun 2027 ataupun 2028,” kata beliau.
Mohd Sany turut mengingatkan pimpinan dan anggota jentera supaya memberikan komitmen apabila dipanggil menghadiri pertemuan atau melaksanakan tugasan pilihan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

