'Beruntung Ayu dan Zaquan, empat anak syurga menanti' - Che Ta

Jenazah anak bongsu pasangan Zaquan Adha dan Ayu Raudhah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said pagi Rabu.
Jenazah anak bongsu pasangan Zaquan Adha dan Ayu Raudhah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said pagi Rabu.
A
A
A

PELAKON jelita, Rozita Che Wan menyifatkan adiknya, Ayu Raudhah dan suami, Zaquan Adha sebagai ibu bapa yang beruntung kerana memiliki anak-anak syurga.

Menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya, Rozita atau lebih dikenali dengan panggilan Che Ta, pasangan itu sudah mempunyai empat anak syurga termasuk anak bongsu, Muhammad Aisy Al Raees yang meninggal dunia kelmarin.

"Mummy dan daddy sangat beruntung dikurniakan anak syurga ini, pinjaman penuh kenikmatan (selama) enam bulan, sembilan hari.

"Beruntungnya Ayu dan Zaquan, empat orang anak syurga sudah menanti di sana.

"Kehilangan anak kecil membuatkan kita rasa sedih dan hiba di atas dunia, namun membawa khabar gembira di alam akhirat, insya-ALLAH," katanya.

Bukan itu sahaja, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut mengenang memori bersama-sama Allahyarham anak saudaranya sejak dilahirkan.

"Dalam galeri telefon mak ngah ini banyak sangat gambar Raees. Setiap hujung minggu, kalau Raees tak datang Kota Damansara, mak ngah yang akan ke Seremban. Baby yang sangat baik, terlalu baik dan luar biasa.

"Semalam (awal pagi Rabu), dapat juga kami semua tidur dengan baby Raees untuk kali terakhir. Selamat jalan anak syurga, damailah kamu di sana sayangku," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Zaquan memaklumkan khabar duka mengenai pemergian mengejut anak ketujuh itu menerusi hantaran di Instagram Stories pada petang Selasa.

Urusan jenazah selesai pada sebelah malamnya dan Allahyarham telah selamat disemadikan pada pagi Rabu.

Untuk info, Ayu selamat melahirkan anak ketujuhnya pada 2 Ogos lalu dengan berat 2.3 kilogram.

Selain Al Raees, pasangan itu dikurniakan enam lagi cahaya mata berusia 12 hingga 2 tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!