Premis terbakar bongkar aktiviti haram Bitcoin

SUNGAI BULOH - Kebakaran di sebuah kediaman membongkar kegiatan perjudian haram Bitcoin di Lorong Cekara Purnama, Bandar Puncak Alam, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999, jam 11.41 pagi daripada seorang wanita tempatan menyatakan terdengar bunyi letupan dan asap dari rumah jirannya.
Beliau berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah menghubungi pihak bomba dan mengarahkan kereta peronda polis ke tempat kejadian.
Kata beliau, kereta peronda tiba di lokasi kejadian jam 11.53 pagi dan mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba sukarelawan Saujana Utama dan Bestari Jaya.
"Pihak bomba memaklumkan terpaksa pecah masuk ke rumah tersebut kerana didapati tiada penghuni dan kebakaran berlaku dalam sebuah bilik yang terdapat pendawaian diubah suai, menyebabkan berlaku litar pintas dan kebakaran.
"Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah bersama pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seal Team Selangor telah pergi ke lokasi kejadian pada hari yang sama jam 4.45 petang.
"Hasil pemeriksaan mendapati kediaman tersebut telah membuat penyambungan elektrik secara haram dan kediaman itu juga digunakan untuk aktiviti perlombongan haram Bitcoin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, hasil siasatan di lokasi kejadian, pihak polis telah menjumpai sembilan mesin mining Bitcoin, kipas blower (9) dan satu router jenama D-Link.
Ekoran itu katanya, pihak IPD Sungai Buloh telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 atas kesalahan melakukan penyambungan elektrik secara haram.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tegas beliau, kegiatan perlombongan Bitcoin haram bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi memberi kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan masyarakat.
Tambahnya, penyambungan elektrik secara tidak sah boleh membawa kepada risiko kebakaran dan kejadian tidak diingini yang boleh mengancam nyawa serta harta benda.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini untuk hadir ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
"Mereka juga boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat, Sarjan Mohamad Nurizwan Hafiz Abd Halim di talian 017-2494940," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
