CEO GISBH, anak ‘Abuya’ dan 20 individu tidak mengaku ahli kumpulan jenayah terancang

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali; isterinya, Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Semua tertuduh itu ialah Nasiruddin, 66, Azura, 58, Mohammad Adib At-Tamimi, 33, dan lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah Yakub, 73, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Salmiah Ismail, 58, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings, di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hashim, tidak mencadangkan 21 tertuduh diberi ikat jamin kerana kes berkenaan termasuk dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
"Sekiranya pembelaan mahu memohon jaminan, saya cadangkan mereka memfailkan perkara itu secara berasingan.
“Bagi seorang lagi tertuduh iaitu Hamimah, sebelum ini mahkamah telah membenarkannya untuk diberi ikat jamin," kata Shafiq.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili 21 tertuduh berkenaan berkata, pihaknya akan membuat permohonan berhubung isu jaminan dalam masa terdekat.
“Permohonan bagi 17 anak guam telah dibuat, manakala baki empat lagi akan difailkan dalam masa seminggu,” katanya.
Pada 23 Oktober 2024, semua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.
Dalam prosiding ini, akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama dilepaskan dengan jaminan dan telah diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin.
Sementara tertuduh lain diwakili peguam-peguam, Datuk Rosli Kamaruddin, Muhammad Zaim Rosli, M Hafiz Zainol Abidin, Dorina Abdullah, dan Boestamam Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

