7 polis India cedera diserang orang awam gara-gara hantaran berbaur sentimen agama

MYSURU, INDIA - Sekumpulan orang awam bertindak menyerang balai polis Udayagiri di sini sejak malam Isnin dan mencederakan tujuh anggota berikutan hantaran menghina serta berbaur sentimen agama di media sosial yang dimuat naik seorang pemuda.
Menurut Ketua Pengarah Polis Tambahan (ADGP), Hitendra, pemuda berkenaan ditangkap kerana memuat naik gambar menyinggung perasaan melibatkan imej beberapa ahli politik India iaitu Arvind Kejriwal, Rahul Gandhi dan Akhilesh Yadav yang berubah-ubah disulami perkataan Arab, didakwa bertujuan mahu menyakiti hati umat Islam sehingga berlaku ketegangan.
Bagaimanapun, katanya, orang awam menjadi lebih marah kerana pelaku mungkin dilepaskan tidak lama lagi.

"Disebabkan itulah mereka menjadi ganas dan cuba menyerbu balai, merosakkan kenderaan dan mencederakan anggota polis.
"Satu pasukan dibentuk oleh polis tempatan untuk menangkap pelaku yang bertanggungjawab mencetuskan rusuhan gempar ini. Buat masa sekarang, keadaan tenang," katanya pada Rabu.
Sementara itu, MLA Kongres dari wilayah Narasimharaja, Tanveer Sait berkata, kejadian terbabit menyebabkan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk membubarkan orang ramai kerana melemparkan batu selain merosakkan kemudahan awam.
"Kekecohan meletus selepas catatan Facebook dibuat seorang pemuda, saya lulus arahan untuk buat aduan polis. Disebabkan ia jenayah siber, mereka ingin tahu kesahihan siaran tersebut dan kemudian ambil tindakan.
"Dalam tempoh antara membuat aduan dan mengambil tindakan, terdapat kelewatan lima hingga enam jam sehinggalah kejadian meletus. Jalan raya disekat.
"Polis cuba untuk menenangkan keadaan dan orang yang membuat hantaran itu juga sudah dikenal pasti, tetapi penunjuk perasaan sangat marah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!