Dua beradik mati kesejukan gara-gara van habis minyak

WASHINGTON - Dua kanak-kanak meninggal dunia akibat kesejukan di dalam sebuah kenderaan yang kehabisan minyak pada Selasa di Detroit, Amerika Syarikat (AS).
Menurut media Metro UK, mangsa masing-masing berusia dua dan sembilan tahun meninggal akibat suhu yang ketika itu menjadi sangat sejuk.
Kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu dan tiga adik-beradik mereka di dalam van mini yang diletakkan di luar sebuah hotel di Greektown.
Jelas media itu, mereka memberhentikan van di parkir sekitar jam 1 pagi (waktu tempatan) sebelum van tersebut kehabisan minyak.
Pegawai Polis tempatan, Kapten Nathan Duda berkata, ibu kedua-dua mangsa itu telah menghubungi seorang rakan untuk membawa anak lelakinya yang berusia sembilan tahun ke hospital selepas mendapatinya tidak bernafas.
Seorang lagi mangsa yang ketika itu dijaga oleh neneknya, dilaporkan tidak bernafas dan turut dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan.
“Kedua-dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital dengan petunjuk awal menunjukkan mereka mati kerana suhu membeku,” katanya.
Polis kemudian menahan ibu kanak-kanak tersebut dan kes kini dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
