PRN Sabah: Tiada perbincangan siapa rakan gabungan, kerusi dituntut

Abdul Rahman ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Abdul Rahman ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada sebarang perbincangan mengenai siapa rakan gabungan parti dan berapa banyak kerusi yang dituntut UMNO Sabah dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri yang diadakan, baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bagi mengulas dakwaan majoriti Ketua UMNO Bahagian menolak saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya UMNO Sabah menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

"Tiada perbincangan seperti itu, tetapi perlu dipetik dengan jelas. Maksud saya, dalam situasi menjelang pilihan raya ini, semua orang mahu bercakap, semua orang mahu memetik sumber.

"Apa yang saya boleh sahkan dalam mesyuarat perhubungan negeri kami, tidak ada disebut ke mana hala tuju gabungan dan tiada keputusan mengenai jumlah kerusi," jelasnya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut memaklumkan perbincangan antara UMNO Sabah dan UMNO pusat masih berterusan berhubung situasi politik di negeri ini.

"Oleh kerana banyak sangat dinamik yang berlaku, setiap hari ada saja perkembangan terbaharu politik negeri Sabah sementara kita makin dekat dengan pilihan raya ini.

"Jadi, keputusan akan dibuat bersama, kerana solo mungkin satu pilihan yang realistik bagi mana-mana parti politik di Sabah. Mesti ada bentuk kerjasama atau gabungan politik.

"Jadi, beberapa laporan itu tidak betul kerana tidak ada perbincangan," tegasnya sekali lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menafikan dakwaan 22 Ketua Bahagian menolak kerjasama itu sebaliknya kesemua mereka kini bersatu untuk menunggu keputusan siapa rakan gabungan untuk menghadapi PRN Sabah.

"Kalau keputusannya adalah bergabung dengan mana-mana pihak, sebagai ahli parti kami akan akur dengan keputusan parti. Masalahnya, setakat ini belum ada keputusan dibuat.

"Tidak ada cerita 22 orang di satu pihak, 15 orang di pihak lain atau tujuh orang di tempat lain. Kami semua bersatu.

"Malah, semalam saya bersama ramai Ketua Bahagian, kami semua sepakat untuk bertenang menunggu keputusan dan apabila keputusan dibuat, kami akur kepada keputusan parti. Selagi keputusan parti belum ada, selagi itu kami terus memperkasakan UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu ahli UMNO fokus kepada bakat kepimpinan yang ada pada parti itu untuk ditonjolkan dan seterusnya ditawarkan kepada rakyat di negeri ini sekiranya mereka menerajui kerajaan Sabah.

Malah Abdul Rahman tidak mahu kritikan dilakukan terhadap pihak lain kerana rakyat kini lebih berminat untuk mengetahui apa yang boleh ditawarkan kepada mereka.

"Dalam temubual saya sebelum ini, saya lebih suka mengajak rakyat untuk tidak mengkritik pihak lain, hari ini kita kritik orang lain, esok orang lain akan kritik kita.

"Saya rasa rakyat Sabah lebih ingin tahu apa yang parti boleh tawarkan kepada mereka, kalau kita mahu bertanding dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat, sebab itu saya selalu tekankan, kita fokus kepada parti kita sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UMNO Sabah ada ramai pemimpin yang berkebolehan dan berpengalaman memegang jawatan penting sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

"Contohnya, Datuk Bung (Datuk Seri Bung Moktar Radin) bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Menteri Kerja Raya, timbalannya, bekas Menteri Ekonomi (beliau sendiri), Bendahari UMNO Sabah. kita ada Datuk Saleh (Datuk Seri Salleh Said Keruak) bekas Ketua Menteri, kita ada Datuk Rosnah (Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin) bekas Timbalan Menteri Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan.

"Kita ada Datuk Yakub (Datuk Yakub Khan) bekas Menteri Sains dan Teknologi, kita ada Datuk Jafry Ariffin bekas Menteri Pelancongan, kita ada Aminah Aching (Datuk Siti Aminah Aching) mantan Menteri Perladangan dan Komoditi, Osman Jamal, bekas Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, jadi mempunyai ramai pemimpin berpengalaman.

"Jadi saya fikir lebih baik kita tonjolkan bakat kepimpinan dalam UMNO dan jelaskan kepada rakyat apa yang parti ini boleh tawarkan sekiranya kita menjadi kerajaan atau sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Tambah beliau lagi, rakyat sebenarnya sudah bosan dengan pergolakan politik yang tiada berkesudahan di Sabah ini.

"Saya rasa rakyat Sabah bosan sudah dengan cerita politik, bergaduh saja 24 jam. Jadi kita tunggu dan lihat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!