PRN Sabah: UMNO Sabah usahakan untuk bergandingan dengan PH

KOTA KINABALU - UMNO Sabah akan cuba usahakan untuk bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Bagaimanapun, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin tidak menafikan mengenai dakwaan majoriti Ketua UMNO Bahagian di Sabah tidak bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam PRN17.
"Saya tidak tahu dari mana sumber cerita berkenaan, tetapi yang pasti majoriti Ketua UMNO Bahagian di Sabah tidak bersetuju dengan gabungan bersama GRS.
"Kita usahakan untuk bergandingan dengan PH, namun kita mempunyai sasaran di DUN-DUN tertentu untuk ditandingi dan menang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan dalam laporan sebuah portal bahawa majoriti Ketua UMNO Bahagian di Sabah menolak saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwr Ibrahim supaya UMNO bekerjasama dengan GRS dan PH dalam PRN17 tahun ini.
Sementara itu, diminta mengulas lanjut mengenai persediaan UMNO Sabah untuk mengharungi PRN kali ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau itu berkata, jentera telahpun disusun di kawasan DUN yang akan ditandingi Barisan Nasional (BN) kelak.
"Alhamdulillah, secara diam-diam kita telah menyusun jentera di peringkat DUN yang akan ditandingi.
"Keseluruhan jentera telah tersedia dengan mengenal pasti pengundi putih disamping kepimpinan negeri melawat ke setiap Bahagian dan DUN untuk memberikan suntikan semangat bagi menghadapi PRN17," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menganggap dakwaan tersebut hanya spekulasi namun dalam masa sama beliau kekal dengan pendirian bahawa UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS.
Sementara itu, ADUN Bengkoka, Datuk Harun Durabi berkata, nasihat daripada Perdana Menteri sentiasa diambil perhatian namun ia terpulang kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memutuskannya.
"Kita sentiasa mendengar nasihat daripada Perdana Menteri itu sendiri, tetapi bagaimanapun ini semua akan diputuskan oleh pucuk pimpinan masing-masinglah.
"Ya, dia (Perdana Menteri) nasihatkan begitu tapi terpulang kepada parti masing-masing, mana yang terbaik itu kita akan ambil perhatianlah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Ditanya mengenai hubungan beliau dengan kerajaan GRS, Harun yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, kerjasama ketika ini adalah tuntutan dalam kerajaan Perpaduan di Sabah.
"Saya bekerja ketika ini sebagai dalam kerajaan Perpaduan lah sekarang ini dan kita pun mengamalkan perpaduan di negeri Sabah," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ADUN BN sudahpun bersedia dalam penyusunan jentera mereka dengan strategi tertentu.
"Saya rasa semua pun sudah bersedia. Tapi dari segi strategi semua tidak kita dapat sebut secara jelas sebab inikan strategi kaedah untuk memenangi PRN.
"Tapi semua wakil-wakil rakyat ini sudah bersedia untuk berhadapan bila-bila saja kerajaan negeri dibubarkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!