Tinjauan pengalaman langsung boleh jadi aras ukur rasuah selain CPI

SHAH ALAM - Kaedah tinjauan seperti pengalaman langsung rakyat dengan rasuah merupakan antara alternatif terbaik dan dapat memberikan gambaran lebih tepat untuk menilai tahap jenayah itu yang berlaku dalam negara.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, kaedah tersebut merupakan antara cara lain untuk mengukur paras rasuah selain daripada menggunakan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
“Kaedah pengumpulan data secara langsung daripada orang ramai yang mengalami rasuah memberikan perspektif yang lebih empirik dan kukuh.
“Selain itu, pengukuran tahap integriti dan ketelusan sistem undang-undang juga dapat memberi petunjuk yang jelas tentang tahap rasuah dalam sesebuah negara.
“Gabungan beberapa alat ini akan memberikan gambaran yang lebih lengkap dan realistik tentang bagaimana rasuah berfungsi dalam masyarakat serta sistem pemerintahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, CPI tidak boleh dijadikan satu-satunya indikator untuk menilai tahap kepincangan tatakelola dan rasuah dalam sesebuah negara.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana dapatan data untuk indeks itu dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Zainal Adnan berkata, CPI adalah indikator berdasarkan persepsi dan tidak mempunyai data yang konkrit serta tidak meliputi semua aspek rasuah.
Jelas beliau, ia juga tidak mengambil kira keberkesanan sistem penyiasatan atau faktor lain yang boleh menggambarkan komitmen sebenar sesebuah negara dalam usaha memerangi rasuah.
“Penilaiannya hanya tertumpu pada rasuah dalam sektor awam, manakala sektor lain seperti pengubahan wang haram dan pematuhan terhadap undang-undang juga amat penting.
“Ia akan memberi isyarat yang tidak konsisten dalam memaparkan kesungguhan setengah negara apabila memerangi rasuah,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan perlu berusaha untuk mewujudkan pengukuran yang lebih holistik seperti data berkenaan pendakwaan, penyelesaian kes dan tindakan penguatkuasaan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
