'Berfikir seperti perasuah jika mahu basmi rasuah'

Kegiatan rasuah masih berlaku di negara ini berpunca daripada ruang terbuka luas untuk jenayah itu yang tidak ditangani dengan strategi betul. Gambar hiasan
Kegiatan rasuah masih berlaku di negara ini berpunca daripada ruang terbuka luas untuk jenayah itu yang tidak ditangani dengan strategi betul. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan rasuah masih berlaku di negara ini berpunca daripada ruang terbuka luas untuk jenayah itu yang tidak ditangani dengan strategi betul.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, dalam masa sama penggunaan teknologi perlu digunakan sebaik-baiknya sebagai alat membanteras jenayah terancang yang turut terkait dengan rasuah.

Menurutnya, simptom awal rasuah atau sebarang kecurigaan yang melibatkan integriti pegawai penguat kuasa perlu dikesan sejak awal sebelum perkara itu menjadi besar dan lebih parah.

“Saya lihat jenayah terancang ini melibatkan wujudnya kesalahan rasuah yang serius. Transaksi perniagaan mungkin dilihat seolah-olah ‘halal’ namun sebenarnya tidak dan menyalahi undang-undang negara. Jadi, tindakan segera serta menyeluruh perlu diambil pihak berkuasa.

“Biasanya jenayah terancang ini akan ada pakatan modul dan strategi sesama kelompok terlibat. Pakatan ini membentuk model dan matlamat yang sama demi mengaut keuntungan melalui manipulasi sistem dengan cara yang cukup licik.

“Kalau benar-benar mahu perangi rasuah, kita kena berfikir sama seperti apa yang dirancang oleh penjenayah untuk menghentikan jenayah tersebut. Itu caranya untuk kita selamatkan negara daripada kerugian dan lumpuhkan perancangan rasuah dan jenayah mereka," ujarnya kepada Sinar Harian.

Nurhayati turut mencadangkan akta pemberi maklumat dapat dipinda agar undang-undang mampu memainkan peranan dalam usaha membasmi rasuah.

“Selain itu, kes rasuah melalui jenayah terancang bukan sahaja boleh berlaku di peringkat nasional tetapi luar negara juga. Oleh sebab itu, kita perlu bekerjasama dengan negara jiran dan negara-negara terbabit untuk kenal pasti jenayah ini.

“Satu bentuk oversight yang mempunyai mekanisme pemantauan untuk mengukuhkan kawalan dalaman dan memperketat kawalan sempadan perlu dipertingkatkan supaya insiden ini diambil pengajaran oleh semua pihak.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, saya ingin mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada SPRM kerana berjaya menumpaskan jenayah terancang baru-baru ini,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!