Tuah di usia emas

Tuah di usia emas, Liza Aziz mengalahkan penyanyi lebih muda dalam GV11.
Tuah di usia emas, Liza Aziz mengalahkan penyanyi lebih muda dalam GV11.
A
A
A

KEMENANGAN penyanyi senior, Liza Aziz di pentas akhir program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) sememangnya sudah boleh dijangka.

Meskipun mendapat saingan sengit daripada beberapa peserta lain termasuk finalis terdiri daripada Ning Baizura, Sheila Abdul, Dadali Dyrga, Zehra Zambri dan The Lima, penyanyi berusia 61 tahun itu tetap konsisten berapa dalam kedudukan top 3 setiap minggu.

Malah tidak kurang juga yang melihat pengalaman lebih empat dekad dalam bidang nyanyian memberi kelebihan buat anak kepada seniwati Normadiah dan seniman Aziz Jaafar.

Namun bagi pemilik nama penuh Norliza Abdul Aziz itu, tidak ada istilah setiap lagu ibarat makanan buatnya kerana beliau bekerja keras setiap minggu untuk memberikan persembahan yang baik.

Top 3 GV11 (dari kiri) Sheila Abdul selaku pemenang tempat ketiga, Liza Aziz bersama naib juara, Ning Baizura.
Top 3 GV11 (dari kiri) Sheila Abdul selaku pemenang tempat ketiga, Liza Aziz bersama naib juara, Ning Baizura.

"Tidak dinafikan pengalaman dalam bidang nyanyian memberi bantuan untuk saya tetapi tidak ada istilah lagu itu makanan saya.

"Hakikatnya saya belajar dari Isnin hingga Jumaat, berlatih dari asas nota muzik setiap hari dan berusaha untuk ingat lirik. Kalau sambil lewa, saya rasa tidak akan berjaya," ujarnya ketika ditemui sebaik selesai program GV11 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.

Kemenangan selaku juara melayakkan adik Azlina Aziz itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 100,000 beserta trofi sumbangan Astro, anugerah Terpaling Adabi RM3,000 beserta barangan Adabi berjumlah RM500 dan turut menerima gelaran Ikon Super Lit CelcomDigi hasil undian peminat.

Artikel Berkaitan:

Krisdayanti hadir sebagai teman duet Liza menerusi lagu Cinta.
Krisdayanti hadir sebagai teman duet Liza menerusi lagu Cinta.

Menerusi konsert akhir yang bertemakan “It’s Final” itu, Liza membawakan lagu solo I Surrender nyanyian asal Celine Dion, diikuti lagu duet bersama Kris Dayanti berjudul Cinta, manakala lagu Angkat pada segmen Rap Battle bersama Zehra Zambri, Ning Baizura dan Sheila Abdul.

Berkongsi penglibatannya dalam GV11, Liza tidak menafikan program itu banyak membantunya belajar perkara baharu daripada juri yang terlibat iaitu maestro muzik, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang.

"Saya tidak nafikan memang bagus sertai GV, tetapi sebelum sertai, pastikan kita yakin dan tahu tahap kita bagaimana sebab saya tidak nafikan memang penat.

"Cuma saya gembira orang kembali mengenai saya dan alhamdulillah berjaya ke tahap ini, Apa pun saya masih Liza Aziz yang sama," katanya yang sentiasa mengingati pesanan juri sebelum memulakan persembahan.

Terbuka

Dalam pada itu, Liza mengakui tidak menyangka bergelar juara kerana memikirkan Ning Baizura akan berada di kedudukan pertama.

Katanya, sejak awal lagi, fokus beliau adalah untuk membuat persembahan terbaik dan tidak ambil pusing dengan segala kata nista yang dilemparkan terhadapnya.

"Sejak sertai GV11, saya wujudkan akaun media sosial dan dibantu adik-adik angkat saya. Walaupun ramai memuji, ada juga yang kutuk, yang kata nanti final akan jadi berbeza dan bukan saya bergelar juara.

"Saya tidak kisah kerana apa yang penting saya sudah sampai ke final, suka atau tidak, saya hanya buat kerja saya dan lihat saya sudah bergelar juara walaupun sebenarnya saya fikir Ning yang menjadi juara. Sejujurnya saya mahu semua bergelar juara," jelasnya.

Walaupun mendapat pujian, Liza mengakui lagu bagi segmen solo adalah yang paling sukar disampaikan.
Walaupun mendapat pujian, Liza mengakui lagu bagi segmen solo adalah yang paling sukar disampaikan.

Ditanya perancangan dengan wang kemenangannya itu, selain berhajat tampil dengan single baharu termasuk bersama kakaknya, Liza berhasrat untuk membawa Azlina dan adik angkatnya mengerjakan ibadah umrah.

"Saya memang berniat untuk menaja kakak dan adik-adik ke tanah suci.

"Selain itu saya harap dapat realisasikan konsert bersama Azlina, saya kira bila sudah sertai GV, ini masa yang sesuai untuk adakan konsert.

"Insya-ALLAH mungkin tahun ini juga, kita akan cari penaja dan uruskan semuanya," kata Liza lagi.

Dalam pada itu, Ning Baizura bergelar naib juara dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.

Sementara itu Dadali Dyrga, Zehra Zambri dan The Lima pula masing-masing berpuas hati di tempat keempat, kelima dan keenam dengan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Enam finalis itu diadili juri tetap Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi popular Indonesia, Hetty Koes Endang.

GV11 dikendalikan Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.

Pada konsert akhir itu, penyanyi terkenal seperti Taufik Batisah, Pasha Ungu, Datuk Jamal Abdillah, Dolla dan juara All Star Gegar Vaganza, Jaclyn Victor antara yang hadir selaku artis undangan untuk segmen duet.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!