Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani diluluskan lebih awal

GEORGE TOWN - Projek Perumahan Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani di Pulau Pinang berjaya mendapat kelulusan kebenaran merancang pada 6 Februari lalu, sekali gus melepasi sasaran tempoh kelulusan yang ditetapkan sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Aziz Bakar berkata, proses tersebut hanya mengambil masa 36 hari, lebih awal daripada tempoh sasaran 42 hari.
“Memandangkan projek ini merupakan skim pertama seumpamanya di Pulau Pinang, beberapa Jabatan Teknikal perlu melakukan penyesuaian bagi memenuhi garis panduan tanpa menjejaskan kelayakan projek.
“Cabaran utama dalam memperoleh kelulusan pantas ini adalah memastikan semua syarat pematuhan dipenuhi dan kita menjangkakan majlis pecah tanah dapat diadakan pada Mac ini,” katanya pada sidang akhbar di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PDC di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan harapan agar projek tersebut dapat disegerakan bagi menyediakan lebih banyak kemudahan perumahan kepada rakyat.
“Sasaran ini ditetapkan oleh Perdana Menteri kerana beliau mahu projek sedemikian dilaksanakan di Pulau Pinang untuk menyediakan rumah kepada rakyat serta mereka yang bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan anak syarikatnya, PDC Properties, dengan pemaju SkyWorld Development Bhd (SkyWorld).
Projek dengan nilai pembangunan kasar RM13 bilion itu disifatkan sebagai pembangunan rumah mampu milik terbesar dalam sejarah negara, melibatkan dua lokasi di Seberang Jaya dan Bandar Cassia, Batu Kawan.
Ia bakal menyediakan sebanyak 37,388 unit kediaman, termasuk 3,700 unit rumah mampu milik, manakala baki 33,688 unit lagi merupakan Rumah Bakat Baru Madani yang ditawarkan pada harga antara RM225,000 hingga RM420,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!