Gua Safawardi kembali tular, dakwa boleh 'tembus' ke Makkah

Gua Safawardi meraih perhatian selepas kembali tular dikunjungi orang ramai. Foto Agensi
Gua Safawardi meraih perhatian selepas kembali tular dikunjungi orang ramai. Foto Agensi
A
A
A

TASIKMALAYA - Gua Safawardi yang terletak di Pamijahan, Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat meraih perhatian selepas ia kembali tular dikunjungi orang ramai kerana percaya terdapat lorong di dalam gua itu yang dapat 'menembusi' Makkah.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan lorong itu sudah ditutup kepada umum, meskipun begitu ia masih tetap dikunjungi orang ramai.

Susulan itu, Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Kabupaten Tasikmalaya, H Ami berkata, beliau berharap masyarakat bijak dalam menyingkap polemik berkenaan.

"Saya mengajak semua pihak melihat masalah ini dengan lebih bijak. Marilah kita mengekalkan tradisi dan nilai kerohanian yang sedia ada tanpa menimbulkan salah faham dalam masyarakat," katanya kepada wartawan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada orang ramai supaya menjaga keselamatan semasa mengunjungi gua berkenaan.

Katanya, masyarakat di kawasan itu percaya bahawa gua itu merupakan tempat berkumpulnya wali pada zaman awal penyebaran Islam di sana.

"Sejarah juga mengatakan bahawa Gua Saparwadi ini merupakan tempat Syeikh Abdul Qodir Al Jaelani berasal dari Arab, menajamkan ilmunya," katanya.

Sehingga kini tiada bukti ilmiah yang menunjukkan bahawa terdapat laluan pintas dari gua itu menuju ke Makkah. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!