X

Kindly register in order to view this article
!

Agong berkenan sertai kejohanan golf amal MGA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kanan) yang juga Penaung Diraja Persatuan Golf Malaysia (MGA) berkenan melakukan 'tee-off' pada Kejohanan Golf Amal MGA 2020 di Kota Permai Golf and Country Club, Kota Kemuning hari ini. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyertai Kejohanan Golf Amal Persatuan Golf Malaysia (MGA) 2020 di Kelab Golf & Country Kota Permai, dekat sini.

Kejohanan amal julung kali diadakan itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk disalurkan kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah dan Tabung Pembangunan Pemain Muda Golf Kebangsaan.

Baginda merupakan penaung Diraja MGA.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melakukan ‘tee-off’ kejohanan tersebut pada jam 8 pagi yang turut disertai oleh 124 peserta daripada pelbagai badan korporat.

Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, selaku pengerusi penganjur, berkata kejohanan tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu organisasi yang memerlukan selain meraikan kesudian Al-Sultan Abdullah menjadi penaung diraja persatuan itu.

Beliau berkata, Yayasan Al-Sultan Abdullah dan Tabung Pembangunan Pemain Muda Golf Kebangsaan, masing-masing akan menerima RM500,000.

"MGA berhasrat untuk meneruskan kejohanan ini pada tahun depan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada badan korporat dan bagi edisi tahun depan, MGA akan memilih dua organisasi yang lain sebagai penerima sumbangan," katanya.

Antara badan korporat yang menjadi penyumbang terbesar besar kali ini ialah Eovest Berhad iaitu RM300,000 manakala Kumpulan Bermaz, Berjaya Berhad dan Genting Berhad, masing-masing menyumbang sebanyak RM100,000. - Bernama