Agong berkenan bertemu Raja Jordan Raja Abdullah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan berangkat bertemu dengan Raja Jordan Raja Abdullah II di Beit Al Urdun, Amman. Foto: Facebook Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan berangkat bertemu dengan Raja Jordan Raja Abdullah II di Beit Al Urdun, Amman. Foto: Facebook Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan berangkat bertemu dengan Raja Jordan Raja Abdullah II di Beit Al Urdun, Amman.

Menurut Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka di Beit Al Urdun pada 1.30 tengah hari waktu tempatan (6.30 petang waktu Malaysia) disambut oleh Raja Abdullah II.

Mengiringi Seri Paduka ialah anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Duta Malaysia ke Jordan Mohamad Nasri Abd Rahman.

"Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin telah berkenan menyentuh berkenaan usaha-usaha untuk mengukuh dan meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Jordan demi kepentingan bersama,” menurut Istana Negara.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berada di Amman bagi lawatan khas selama empat hari bermula 30 Mei atas persilaan Raja Abdullah II.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua diiringi oleh paduka-paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan di Istana Zahran esok disusuli keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Istana Al Husseinieh di Amman pada sebelah malam.

Majlis Perkahwinan Diraja Putera Mahkota Jordan akan turut diserikan dengan kehadiran kerabat-kerabat diraja, para pemimpin dan kenamaan dari seluruh dunia.

Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun ini. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!