6 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh sebulan

KUALA LUMPUR - Keadaan beberapa unit rumah di Flat Taman Setapak Indah Fasa 7, di sini, dipenuhi barangan kitar semula dipercayai menjadi antara punca kes demam denggi meningkat.
Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lokaliti Flat Taman Setapak Indah mencatatkan enam kes demam denggi dalam tempoh 30 hari iaitu bermula pada 7 Januari hingga 6 Februari.
Sehubungan itu, program gotong royong wabak denggi diadakan pada Ahad bagi mengawal penularan kes demam denggi manakala tiga lori disediakan bagi mengangkut barangan lusuh.

"Pembersihan persekitaran dan cantasan pokok turut dilakukan kerana dikesan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu, perasmian program gotong-royong itu disempurnakan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lain Chen Heng.
Program melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mendapat kerjasama Pejabat Cawangan DBKL Wangsa Maju, Pejabat Pengurusan Perbadanan Flat Taman Setapak Indah, SWCorp dan Alam Flora.
DBKL memaklumkan, pejabat pengurusan turut mengeluarkan notis kepada unit rumah didapati menyimpan barangan lusuh sebelum dilupuskan dalam program kali ini.
"DBKL meminta warga kota menitik beratkan kebersihan di persekitaran rumah masing-masing dan luangkan sedetik waktu di hujung minggu dengan membuat pemeriksaan kendiri di tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Lupuskan dan buang barang lusuh yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," ujarnya.
Katanya, tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang memperuntukkan denda maksimum RM500 akan dikenakan terhadap pemilik premis sekiranya tempat pembiakan dikesan kakitangan kesihatan.
"Oleh itu, ambil tindakan segera dengan tindakan cari dan musnah," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

