Mayat lelaki ditemukan tertiarap di ladang getah

MARANG - Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemukan dalam keadaan tertiarap di sebuah ladang getah di Kampung Kubu di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan mayat lelaki berusia 35 tahun itu kira-kira jam 3.15 petang oleh orang awam.
"Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan.
"Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai baju T hitam dan seluar pendek berwarna coklat.
"Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya. Mangsa disyaki meninggal dunia dalam tempoh kurang 24 jam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Mohd Sofian berkata, mayat terbabit dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Marang di talian 09-6182222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
