Culik anak majikan kerana sakit hati akibat dipecat

Suspek yang menculik anak majikannya berjaya ditangkap polis.
Suspek yang menculik anak majikannya berjaya ditangkap polis.
A
A
A

DENPASAR - Seorang lelaki bertindak menculik anak bekas majikan berusia 10 tahun dan meminta wang tebusan 100 juta Rupiah atau RM27,407 kerana sakit hati akibat dibuang kerja.

Ketua Polis Denpasar Selatan, Komisaris Polis Herson Djuanda berkata, suspek dikenali sebagai Wayan Sudirta, 29, turut mengancam bapa kanak-kanak terbabit, Komang Sudiarta supaya tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa jika mahukan anaknya selamat.

“Pelaku memberikan nombor akaun kepada ayah mangsa untuk memindahkan wang tebusan.

“Suspek turut mengancam mencederakan kanak-kanak terbabit dan mencari kakak mangsa sekiranya wang tidak dipindahkan atau keluarga memberitahu hal tersebut kepada polis,” katanya.

Bagaimanapun, Komang tetap melaporkan kejadian itu kepada polis dan penjenayah berkenaan berjaya ditangkap selepas polis berjaya menjejak lokasi pelaku melalui telefon bimbit ketika rundingan wang tebusan dibuat.

Terdahulu, Komang menyuruh seorang pekerja menjemput anaknya pulang dari sekolah sekitar jam 1.30 petang (waktu tempatan), pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, pihak sekolah memaklumkan kanak-kanak itu sudah dijemput seorang lelaki menaiki motosikal.

Tidak lama selepas itu, isteri Komang menerima panggilan telefon dari seseorang mendakwa menculik anak mereka di sekolah.

Suspek berjaya ditangkap polis yang menyamar di PT Indonesia Power dan dibawa ke Balai Polis Denpasar Selatan untuk siasatan lanjut. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!