Tiga individu didakwa culik budak dua tahun bawah jejambat

Majistret membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Majistret membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di bawah jejambat Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), dua minggu lalu.

Pekerja kilang, D R Thevagaran dan dua penganggur, M Haris dan V Durga Nanthini masing-masing berusia 21 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi masih bebas, didakwa menculik kanak-kanak terbabit daripada penjaganya yang sah, berumur 28 tahun di tepi Jalan Pandan Indah 1/1, Taman Maju Jaya, di bawah jejambat E9, BESRAYA pada 6.30 petang, 4 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 363 kanun sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie tidak mencadangkan semua tertuduh diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, peguam, Lingswaran Singh yang mewakili Thevagaran dan Haris serta peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ernie Ahmad mewakili Durga Nanthini memohon jaminan rendah kerana anak guam mereka perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Normaizan membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 5 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!