Remaja ditemukan lemas di Lata Tebing Tinggi

IPOH - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Lata Tebing Tinggi dekat Selama, petang Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu pada 4.53 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian 14 minit kemudian.
Beliau berkata, setibanya anggota pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Selama di lokasi kejadian, didapati mangsa, S Muguthan telah dijumpai orang awam.
"Tindakan ketua operasi mengarahkan anggota membuat penyelamatan menggunakan kaedah CPR (resusitasi kardiopulmonari) namun tidak ada respons daripada mangsa.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan) yang hadir di lokasi kejadian. Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Operasi tamat pada 5.50 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
