Lelaki ditemukan lemas ketika memancing bersama rakan

TAPAH - Seorang lelaki ditemukan lemas ketika memancing bersama dua rakannya dalam kejadian di Sungai Batang Padang di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 5.50 petang sebelum sepasukan anggota segera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 39 tahun bersama dua rakan sekerja di Pasar Awam Tapah ke lokasi kejadian untuk memancing ikan.
"Ketika sedang memancing, dua rakan mangsa beralih ke lokasi lain untuk menjala ikan. Kira-kira satu jam kemudian, mereka kembali semula dan mendapati mangsa tiada di lokasi kejadian.
"Mereka memaklumkan mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat lemas sebelum melakukan pertolongan cemas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Naim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kekurangan oksigen dalam badan akibat lemas.
"Susulan itu kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi terutama sungai dinasihati supaya memastikan keselamatan diri dan keluarga," katanya.
Jelasnya, langkah keselamatan sewajarnya perlu diambil supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

