Nelayan hanyut ke Bengkalis sihat, selamat

Rashid (empat dari kiri) bergambar bersama penduduk Kampung Pambang, Bengkalis Indonesia yang membantunya selepas hanyut ketika menangkap ikan di Perairan Rengit Batu Pahat.
Rashid (empat dari kiri) bergambar bersama penduduk Kampung Pambang, Bengkalis Indonesia yang membantunya selepas hanyut ketika menangkap ikan di Perairan Rengit Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Batu Pahat berharap nelayan Ramli Rashid, 38, yang ditemukan selamat di Bengkalis Indonesia empat hari lalu dibawa pulang segera ke Malaysia.

Nelayan berkenaan sebelum ini dilaporkan hilang di laut ketika menangkap ikan di perairan Rengit.

Ahli Lembaga Pengarah PNK Batu Pahat, Syukor Jaafar berkata, tragedi yang menimpa Rashid sehingga hanyut ke perairan negara jiran adalah satu bencana alam dan bukan pencerobohan sempadan atau melibatkan jenayah penyeludupan.

Katanya, rundingan tanpa melibatkan kedutaan boleh dilakukan sebagai jalan penyelesaian bagi proses penghantaran pulang nelayan itu.

"Rashid ada berhubung dengan saya semalam memberitahu, dia hanyut kerana minyak enjin bot kehabisan manakala cuaca ketika itu tidak elok dan angin.

"Selepas itu ada penduduk yang selamatkan dia dan membawanya pulang ke Kampung Pambang di Bengkalis. Rashid juga ada berkongsi gambarnya. Keadaannya juga selamat dan sihat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Tambah Syukor, PNK Batu Pahat turut membantu memastikan pembebasan Rashid berjalan lancar walaupun dia hanya nelayan sambilan.

Semalam, media melaporkan Rahsid Ramli, nelayan yang hilang di laut selepas keluar menangkap ikan di perairan Rengit dekat Batu Pahat ditemukan selamat di Bengkalis, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC Johor Bahru) menerima maklumat daripada Zon Maritim (ZM) Batu Pahat berhubung penemuan Ramli, 38, oleh orang kampung di Kampung Pantai Desa Tambang, Bengkalis, kira-kira 7 malam semalam (waktu Malaysia).

“ZM Batu Pahat berjaya mendapatkan pengesahan bahawa nelayan yang ditemui disahkan sebagai Ramli oleh keluarganya. Melalui pengesahan tersebut, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ramli ditamatkan pada jam 10.30 malam semalam,” katanya.