Tembakan di Setia Alam: Suspek dipercayai masih berada di Selangor

SHAH ALAM - Suspek yang melepaskan tembakan mengakibatkan seorang individu cedera di sebuah pusat beli belah di Setia Alam pada Sabtu dipercayai masih berada dalam negeri ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
"Kontinjen Selangor kini sedang menjejaki suspek yang dipercayai masih berada dalam negeri ini.
"Fotofit suspek akan diedarkan ke kontinjen lain bagi menjejakinya sekiranya kita melihat ada keperluan untuk melakukan sedemikan," katanya pada Ahad.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bahawa Balai Polis Seksyen 6 telah dimaklumkan kejadian tembakan itu kira-kira jam 10.50 malam.
Katanya, dalam kejadian itu, suspek lelaki melepaskan empat das tembakan hingga mengenai kaki dan punggung seorang pekerja tukang cuci di pusat beli-belah berkenaan yang ketika itu hendak menyimpan peralatan mencuci di aras P1.
Mangsa melarikan diri dan masuk ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan manakala suspek lari ke aras P2.
Berdasarkan siasatan, suspek merupakan warga tempatan, berkulit cerah dan berusia lingkungan 30-an selain memiliki 11 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!