Akademi Jaya Bersama perkasa, kukuhkan UMNO - Wan Rosdy

KUANTAN - Pelancaran Akademi Jaya Bersama iaitu sekolah politik UMNO Bahagian Johor Bahru bermatlamat memperkasa serta mengukuhkan lagi parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, latihan dan perkaderan generasi pelapis UMNO bukan satu tugas yang boleh dibuat sambil lewa tetapi harus konsisten.
Menurutnya, pimpinan di peringkat atas mahupun di akar umbi mesti senada melaksanakan tanggung jawab yang berat itu.
"Ini kerana masa depan daya saing UMNO di pentas politik nasional atau antarabangsa, bergantung kepada komitmen pemimpin semasa menyediakan pelapis.
"Melahirkan pimpinan pelapis bagi menjaga kesucian agama Islam mahupun kepentingan hak hak Melayu adalah fardu kifayah pimpinan semasa," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Wan Rosdy yang juga Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO berkata, sejarah telah membuktikan hanya parti politik dunia yang sedar dan insaf akan tanggungjawab itu akan kekal relevan walaupun ditindas atau diancam musuh politiknya.
"Marilah kita bersama-sama tanpa jemu berjuang dengan penuh iltizam melahirkan pemimpin muda, pemimpin pelapis dan pemimpin berkualiti.
"Usaha ini demi membuktikan UMNO kekal terus bersetia dan berkhidmat, bukan saja kepada negara, tetapi kepada masa depan orang Melayu dan rakyat," ujarnya.
Menteri Besar Pahang itu juga menzahirkan ucapan tahniah kepada UMNO Bahagian Johor Bahru atas pelancaran Akademi Jaya Bersama itu.
Akademik Jaya Bersama, sekolah politik UMNO Bahagian Johor Bahru dilancarkan di Dewan Badan Perhubungan UMNO Johor pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

