JPJ periksa 37 Puspakom, sita 21 kenderaan

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak menyita 21 buah kenderaan perdagangan menerusi pemeriksaan terhadap 37 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dalam ops khas sejak 30 Disember lalu.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menjalankan Operasi Khas Puspakom sebagai salah satu elemen khas menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tindakan penguatkuasaan dengan lebih tegas terhadap kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Beliau berkata, pelaksanaan Ops Khas Puspakom adalah memastikan keselamatan kenderaan dan membendung kesalahan teknikal pada kenderaan perdagangan sebelum, semasa, dan selepas melakukan pemeriksaan berkala atau awalan di Puspakom.
"Sepanjang operasi yang dilaksanakan sejak 30 Disember lalu, pihak JPJ mengadakan pemeriksaan terhadap 37 buah Puspakom di seluruh negara dan hasil daripada itu, sebanyak 21 buah kenderaan disita.
"Pihak JPJ mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh, Insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Aedy Fadly berkata, daripada jumlah sitaan itu, pihak JPJ turut mengesan sebuah lori diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan itu tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan.
Menurutnya, tindakan sitaan terhadap kenderaan itu telah diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan.
Berikutan daripada kes itu, menurutnya, pihak JPJ mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom.
"Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa lain.
"JPJ sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
