Thaipusam: Rapid KL sedia bas perantara percuma ke Batu Caves

KUALA LUMPUR - Rapid KL menyediakan perkhidmatan bas perantara ke Batu Caves secara percuma sempena sambutan Thaipusam.
Rapid KL menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan, perkhidmatan itu disediakan selama dua hari pada Isnin dan Selasa depan.

Menurutnya, kemudahan itu akan disediakan di tiga laluan ditetapkan dengan kekerapan setiap 10 minit sebagai inisiatif menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam.
"Ia babitkan laluan Hab Bandar Pasar Seni-Batu Caves, Stesen LRT Gombak-Batu Caves dan Stesen MRT Kampung Batu-Batu Caves.
"Bas percuma ini akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam pada Isnin manakala Selasa bermula jam 12 malam Selasa hingga 12 malam (Rabu)," katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tuurt menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari sempena Thaipusam pada 10 dan 11 Februari ini.
Selain itu, perkhidmatan tren tambahan akan beroperasi 24 jam selama empat hari tiga malam, bermula Ahad hingga Rabu ini, bagi memenuhi keperluan penumpang, khususnya penganut agama Hindu, pelancong dan orang awam yang ingin menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

