Penunggang motosikal maut terbabas, langgar pembahagi jalan

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Persisiran Perling arah Bukit Indah, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu hilang kawalan dan terbabas.
"Akibat daripada kejadian itu, mangsa melanggar pembahagi jalan dan terjatuh ke dalam longkang di Jalan Persisiran Perling arah Bukit Indah.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat iaitu Inspektor Wong Jin Siong di talian 011-16490168.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!