Lebuh raya bukan 'tong sampah' waktu musim perayaan

SUDAH menjadi tradisi rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum untuk mengambil kesempatan bercuti, pulang ke kampung halaman dan berkumpul beramai-ramai sempena cuti musim perayaan agama masing-masing.
Namun, apa yang kurang menyenangkan adalah sikap sesetengah pengguna yang tidak berdisiplin dan suka membuang sampah di merata-rata tempat, terutama di tepi jalan atau sepanjang lebuh raya di seluruh negara.
Sebagai contoh, sejumlah 360 kilogram sampah sarap telah dikutip oleh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) sepanjang seminggu cuti musim perayaan Aidilfitri di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kampung Kechau Tui hingga Merapoh pada tahun lalu.
Lebih menjijikkan lagi apabila kakitangan Alam Flora terpaksa mengutip najis yang dibuang di dalam plastik serta botol berisi air kencing.
Media juga pernah melaporkan pekerja Alam Flora dan Majlis Perbandaran Selayang, terpaksa mengutip lebih 80 ribu tan sampah yang dibuang di tepi jalan raya oleh orang ramai yang menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves, Gombak, Selangor, beberapa tahun lalu.
Pembuangan sampah sarap seperti botol plastik, kertas pembungkus makanan, kaca dan tin minuman di merata tempat bukan hanya mencacatkan pemandangan, malah boleh mengundang pelbagai penyakit berjangkit.
Sampah sarap seperti plastik, botol kaca dan sisa makanan yang dibuang di merata-rata tempat dan tidak diuruskan dengan baik boleh menyebabkan berlakunnya pencemaran tanah, air dan udara serta menjejaskan ekosistem.
Ini kerana plastik contohnya akan mengambil ratusan tahun untuk terurai dan boleh mengancam kehidupan hidupan liar yang mungkin tertelan atau terperangkap dengan sampah tersebut.
Sampah yang dibuang sembarangan juga boleh menjadikan tempat pembiakan serangga dan haiwan perosak seperti lalat, tikus dan lipas, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran penyakit berjangkit seperti demam denggi, kepialu dan kencing tikus.
Bau busuk dihasilkan oleh sampah juga boleh mencemarkan udara dan mengganggu keselesaan orang ramai yang melalui kawasan tersebut.
Pembuangan sampah sarap di sepanjang lebuh raya atau jalan raya biasa juga meningkatkan risiko keselamatan pengguna jalan raya lain terutama pejalan kaki dan penunggang motosikal.
Pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang terganggu dengan keadaan sekitar kotor juga mungkin hilang tumpuan dan berisiko menyebabkan insiden yang tidak diingini.
Pembuangan sampah di lebuh raya dan tepi jalan bukan hanya mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan imej Malaysia pada mata pelancong asing yang melalui kawasan terbabit.
Masalah itu juga menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan konsesi lebuh raya terpaksa mengeluarkan sejumlah dana bagi mengupah pekerja untuk membersihkan bertan-tan matrik sampah sarap yang bertaburan di tepi jalan setiap kali musim perayaan.
Bagi memastikan masalah sama tidak berulang, orang ramai dinasihatkan supaya membawa pulang sampah sarap masing-masing selepas mereka menjamu selera.
Mereka juga boleh membuangnya di tong sampah apabila singgah di stesen minyak atau mana-mana hentian rehat dan rawat (R&R) yang disediakan.
Langkah itu penting kerana perbuatan membuang sampah merata-rata tempat menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia memiliki 'minda kelas ketiga' dan tidak mempunyai kesedaran sivik.
Pihak berkenaan juga perlu mengadakan lebih banyak kempen seperti memasang lebih banyak papan tanda bagi memberi amaran supaya pengguna tidak membuang sampah di merata tempat.
Jika pengguna masih berdegil dan meneruskan tabiat buruk membuang sampah di merata tempat, tidak salah jika PBT dan pihak berkuasa mengenakan tindakan lebih keras seperti mengenakan denda ratusan ringgit bagi mendidik rakyat Malaysia supaya lebih berdisiplin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!