‘Suka atau tidak, atlet perlu terima realiti tekanan’

Laporan Sukan Sinar pada Khamis mengenai sasaran pingat pada Sukan SEA 2025. Gambar kecil: Mohd Sadek
Laporan Sukan Sinar pada Khamis mengenai sasaran pingat pada Sukan SEA 2025. Gambar kecil: Mohd Sadek
A
A
A

KONSEP sukan berprestasi tinggi yang menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat dianggap sebagai elemen penting dalam meningkatkan motivasi atlet.

Menurut pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa, tekanan merupakan sebahagian daripada proses pematangan atlet sebelum mereka bergelar juara.

Namun, beliau menegaskan bahawa tekanan adalah sesuatu yang lumrah dan bergantung kepada mentaliti atlet dalam menanganinya.

“Apabila kita menetapkan sasaran warna pingat, kita sebenarnya mengetahui sejauh mana keupayaan daya saing atlet negara.

“Tanpa sasaran yang jelas, bagaimana atlet dapat mengoptimumkan potensi diri mereka?

“Atlet yang berjaya selalunya melihat tekanan sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada pencapaian konsisten mereka.

“Kita tidak boleh lari daripada hakikat menang atau kalah, tetapi sasaran untuk memenangi pingat emas, perak atau gangsa dalam sesuatu temasya sukan perlu ditetapkan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan bahawa sasaran pingat bagi temasya Sukan SEA 2025 akan ditetapkan berdasarkan jumlah keseluruhan pingat dan bukan mengikut warna pingat.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan bahawa penetapan tersebut mengambil kira saranan daripada pakar di Nippon Sports Science University (NSSU).

Mengulas mengenai pendekatan yang disarankan oleh NSSU, Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam menimbulkan beberapa persoalan.

“Kita mengambil formula yang digunapakai oleh Jepun, tetapi kita perlu bertanya sama ada prestasi, disiplin dan sikap atlet Jepun setanding dengan atlet kita.

“Adakah aspek latihan, pendedahan dan pertandingan yang dialami oleh atlet Malaysia dan Jepun adalah sama?

“Mungkin Jepun tidak menetapkan sasaran secara umum, tetapi saya percaya atlet mereka secara peribadi dimaklumkan mengenai sasaran pingat yang diharapkan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, sasaran warna pingat perlu dibuat berdasarkan pencapaian semasa atlet serta selepas membuat perbandingan dengan pesaing dari negara lain.

“Apabila kita menghantar atlet ke sesuatu temasya sukan, kita sudah menilai pelbagai faktor yang membolehkan mereka menyerlah dan mencapai sasaran pingat.

“Sasaran juga perlu realistik, bergantung kepada sukan yang berpotensi menyumbang pingat kepada negara, selain mengambil kira aspek psikologi, taktikal, dan perancangan strategi.

“Sama ada suka atau tidak, kita perlu akui bahawa atlet yang bertanding dalam temasya sukan pasti akan berdepan dengan tekanan yang sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!