Membentuk sikap umat Islam

A
A
A

DUA minggu lepas iaitu pada 8 Februari 2020 saya dijemput oleh Hiwafa Wealth Management untuk bercakap dalam sebuah program yang dinamakan Intellectual Legal Muslim Convention 2020 (ILMU 2020).

Tajuk yang diberikan kepada saya ialah ‘Membentuk Sikap Umat Islam dalam isu-isu Perlembagaan dan Undang-Undang’. ILMU 2020 mengumpulkan lebih 20 orang pengamal undang-undang sivil dan syariah memberi perkongsian pakar di dalam bidang masing-masing.

Ruangan kali ini saya ingin mengupas tajuk yang diberikan agar dapat juga dimanfaatkan oleh pembaca.

Tafsiran Perlembagaan Persekutuan sering mengatakan bahawa Perlembagaan itu ‘hidup’. Ia bukanlah bermaksud ia mempunyai nyawa tetapi memberi kiasan bahawa Perlembagaan itu hendaklah ditafsirkan mengikut nilai semasa.

Oleh itu, beberapa kalangan ketika ini cuba mengubah nilai semasa yang diterima masyarakat Malaysia agar ia dapat dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Antara nilai semasa yang mahu ditanam di bumi Malaysia seperti LGBT, perkahwinan sesama jenis, bertukar agama dengan bebas dan banyak lagi.

Namun bagi umat Islam sekiranya mereka masih berdiam diri, nilai-nilai seperti ini akan menjadi norma lazim dalam masyarakat dan akhirnya diterima sebagaimana yang berlaku di negara-negara Barat.

India ialah sebuah negara yang diisytiharkan sebagai negara sekular, namun nilai masyarakat mereka mahu dipinda oleh Perdana Menteri India sekarang kerana banyak tindakan mereka yang berpihak kepada sesuatu agama khususnya Hindu.

Artikel Berkaitan:

Hal yang demikian bertentangan dengan konsep sekular. Begitu juga Turki sebuah negara sekular, namun kini setelah pemerintahan Erdogan makin banyak nilai Islam yang diterima. Namun, Malaysia pula sebaliknya kerana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan Islam ialah agama bagi Persekutuan. Ada kalangan sebaliknya mahu menerap nilai-nilai sekular di Malaysia pula. Sekiranya nilai itu diterima ramai pasti satu hari nanti ia menikmati perlindungan dalam undang-undang tertinggi negara ini.

Selama ini dalam banyak keadaan umat Islam hanya memberi reaksi di dalam sesuatu perkara. Amat jarang kita lihat sikap proaktif ditonjolkan oleh umat Islam.

ProaktifDalam isu sekolah vernakular umpamanya, tindakan proaktif beberapa kalangan memfailkan prosiding di mahkamah dilihat sebagai anjakan paradigma umat yang perlu secara konsisten diteruskan.

Malah umat Islam juga perlu mengubah sikap daripada menunggu setiap lima tahun dalam pilihan raya bagi membuat keputusan kepada beberapa sikap yang lebih proaktif antaranya:

Ahli Parlimen perlu mendengar suara rakyat bukan terikat dengan arahan parti setelah dipilih rakyat.

Memastikan wakil rakyat benar-benar menjadi wakil bagi pihak rakyat bukan bagi pihak parti politiknya.

Memulakan prosiding di mahkamah dalam apa-apa tindakan yang diambil pihak berkuasa awam yang tidak selari dengan undang-undang. Biarkan mereka menjawab di mahkamah dan diperiksa segala tindakan.

Dalam isu-isu Perlembagaan dan Undang-Undang, umat Islam hendaklah bersatu bagi menjaga kepentingan Islam Melayu dan Raja-Raja.

Malah, pergantungan sepenuhnya kepada ahli politik dalam menyelesaikan pelbagai isu sudahpun menampakkan kegagalannya. Jadi umat Islam harus bijak tidak hanya bergantung kepada politikus tetapi juga perlu mempunyai wadah yang kuat bagi menyemak dan imbang para politikus.

Dengan cara sebegini parti politik akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan kerana mereka sudah tentu khuatir undian mereka akan merosot sekiranya mereka meminggirkan kehendak rakyat.

Ironinya ketika ini wakil rakyat dilihat terlalu berkuasa walaupun kuasa itu sebenarnya dipungut daripada rakyat.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia