PKR harus pertandingkan jawatan presiden, timbalan presiden

PASIR SALAK - Parti Keadilan Rakyat (PKR) harus terus menyuburkan demokrasi dalam pemilihan parti itu akan datang dengan mempertandingkan jawatan tertinggi iaitu presiden dan timbalan presiden.
Bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata, demokrasi di dalam parti perlu dipertahankan walaupun ada pihak memberi cadangan agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.
Menurutnya, parti tidak akan lemah jika dua jawatan utama itu dipertandingkan kerana ia bukan satu masalah.
"Saya kira budaya demokrasi itu perlu terus dipertahankan dan memang betul ada suara yang tak boleh pertandingkan (jawatan presiden dan timbalan presiden) itu juga boleh, tetapi kalau ada pertandingan sekalipun saya fikir perlu dialu-alukan dan tidak perlu dikembirikan atau dilemahkan.
"Kalau ada pandangan yang ingin pertandingan itu diteruskan, saya kira ia sebuah parti demokrasi tetapi yang terpenting adalah adab dan etika mesti menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan penutupan Kursus Asas Kemahiran dan Keusahawanan Serta Pematuhan Peraturan Operator Pelancongan Daerah Perak Tengah dan Bagan Datuk di Dewan Millenium, Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek.
Mustaffa Kamil berkata, menjadi kebiasaan dalam mana-mana pertandingan pasti akan ada yang kalah dan menang.
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (Insken) menjelaskan, perkara paling penting adalah memastikan etika sentiasa dijaga sepanjang tempoh pemilihan berlangsung.
"Etika itu penting sebab kalau kita melanggar etika yang ada, parti akan bertambah lemah tetapi kalau etika yang betul, parti akan menjadi kuat.
"Maka walaupun ada pertandingan, kita memilih yang terbaik dan yang kalah bukan juga yang tidak baik tetap dia ada kekuatan dan perlu dirangkul bersama," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mendedahkan bahawa parti itu berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini, antaranya untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang dan melancarkan khidmat kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

