'Syukur diberi peluang sekali lagi rezeki jaga anak'

Tunku Azizah bertanya sesuatu kepada Sabrina dan suaminya, Mohd Fikry Amri ketika penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur, pada Khamis. Foto Jabatan Penerangan Pahang
Tunku Azizah bertanya sesuatu kepada Sabrina dan suaminya, Mohd Fikry Amri ketika penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur, pada Khamis. Foto Jabatan Penerangan Pahang
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pasangan suami isteri yang kehilangan anak berusia lapan bulan selepas didakwa didera pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka terharu apabila ditawarkan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) percuma oleh Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Sabrina Hakiem Zaini, 40, bersama suaminya, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 40, meluahkan rasa syukur atas peluang kedua untuk menimang cahaya mata.

"Alhamdulillah, ALLAH pernah beri saya peluang merasai nikmat menjadi seorang ibu, mengandung, melahirkan, dan menyusukan anak.

"Itu satu anugerah yang tidak semua orang dapat dan saya lebih menghargainya selepas berbual dengan pasangan lain yang sudah bertahun-tahun menunggu peluang melalui TAFF," katanya ketika ditemui Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur, pada Khamis.

Sabrina dan Mohd Fikry Amri ketika ditemui pemberita selepas penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur, pada Khamis.
Sabrina dan Mohd Fikry Amri ketika ditemui pemberita selepas penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF di Dewan Perdana, Hotel Grand Darul Makmur, pada Khamis.

Majlis penyampaian surat tawaran tajaan rawatan IVF TAFF disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Baginda, selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF menyerahkan sendiri surat tawaran tersebut kepada 65 pasangan yang terpilih untuk menjalani rawatan IVF secara percuma.

Sabrina yang bekerja sebagai guru berkata, tawaran daripada Tunku Azizah membuka jalan untuk mereka menjalani rawatan IVF selepas tragedi menimpa anaknya, Muhammad Al-Fateh Amri, pada 6 September tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat bersyukur kerana selepas kejadian itu, Tuanku terus memberi kami peluang untuk menjalani rawatan IVF.

"Kami berharap rawatan kali ini berjaya dan sekali lagi diberi rezeki untuk menimang cahaya mata," ujarnya.

Suaminya, Mohd Fikry Amri mengakui terkejut apabila menerima panggilan daripada pegawai Tengku Ampuan Pahang pada Januari lalu, memaklumkan baginda berkenan menaja rawatan IVF mereka melalui TAFF.

"Saya benar-benar tidak menyangka kes kematian anak kami, Al-Fatih, yang meninggal dunia di rumah pengasuh mendapat perhatian Tengku Ampuan sendiri.

"Kami sangat bersyukur kerana diberikan peluang ini dan menerima tajaan rawatan IVF daripada baginda. Selama 13 tahun kami menunggu untuk mendapat zuriat dan sempat menjaga Al-Fateh selama lapan bulan," katanya yang bercadang untuk menjalani rawatan IVF di Melaka.

Sementara itu, Tunku Azizah menzahirkan rasa bersyukur kerana 143 bayi berjaya dilahirkan membabitkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF sejak penubuhan pada 2005.

"Pastinya hari ini sekali lagi menjadi detik bersejarah buat 65 pasangan dari seluruh negara. Apa yang ALLAH kurniakan, saya hendak beri balik kepada orang senasib dengan saya.

"Saya harap semua rawatan ini berjaya dilaksanakan dan mendoakan Allah memakbulkan," titah baginda.

Pada September tahun lalu, Sinar Harian melaporkan betapa hancurnya hati pasangan suami isteri itu apabila zuriat yang ditunggu selama 13 tahun maut di taman asuhan kanak-kanak (taska) dalam keadaan menyayat hati.

Lebih menyedihkan, Muhammad Al Fateh Amri baharu lima hari dihantar ke taska berkenaan memandangkan cuti tanpa gaji yang diambil isterinya hampir tamat.

Bapa mangsa, Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi turut meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh suspek.

Ujarnya, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya itu dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!