[VIDEO] Kereta, motosikal paling banyak langgar lampu isyarat
GOMBAK - Tidak mematuhi lampu isyarat antara kesalahan tertinggi direkodkan dikesan menerusi Operasi Penyamaran sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan melibatkan beberapa lokasi di Selangor bermula 20 Januari lalu sehingga Khamis.
Statistik turut mencatatkan motosikal dan kereta antara paling tinggi direkodkan melakukan kesalahan ini menerusi operasi dijalankan.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi khas ini menfokuskan kepada tujuh kesalahan utama yang dilakukan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, tindakan diambil sepanjang pelaksanaan operasi ini melibatkan 10 notis saman dan 288 notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114.
"Melanggar lampu isyarat merekodkan kesalahan tertinggi dikesan iaitu sebanyak 127 saman dikeluarkan diikuti memandu di lorong kecemasan (66), memandu berterusan di lorong kanan (39), tidak memakai topi keledar (35), menggunakan telefon bimbit (21) dan pelbagai kesalahan lain.

"Sebanyak 298 kenderaan termasuk kenderaan persendirian dan perdagangan terdiri daripada lori, bas, kereta dan motosikal dikesan melakukan kesalahan yang direkodkan itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Operasi Penyamaran Khas sempena Tahun Baharu Cina di Hentian Rehat dan Rawat Rawang arah utara di sini pada Khamis.
Mengulas mengenai operasi ini, Ahmad Kamarunzaman berkata, kesalahan ini dikesan menggunakan taktik penyamaran yang dilaksanakan pihaknya.
"Antara kaedah digunakan adalah kita melaksanakan pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan dengan menggunakan kenderaan tidak berlogo dan tidak memakai pakaian seragam.
"Kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan akan segera ditahan sebelum tindakan saman akan dikeluarkan," katanya.
Menurutnya, operasi ini sebagai usaha bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan ini.
"Pematuhan peraturan jalan raya penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna bagi memastikan kelancaran perjalanan ke destinasi yang dituju.
"Selain itu, dengan penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan ini, kita mahukan kehadiran JPJ sentiasa dirasai oleh semua pengguna dan masa sama memastikan tiada berlakunya sebarang pelanggaran peraturan ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

