CAAM sahkan helikopter terbakar ketika mendarat di Bentong

PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan melibatkan helikopter Bell 206L4 dengan nombor pendaftaran PK-ZUV di tapak pendaratan berhampiran Bentong, Pahang pada jam 10.26 pagi Khamis.
CAAM menerusi kenyataan memaklumkan, helikopter yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad itu sedang menjalankan penerbangan kerja keudaraan.
"Informasi terakhir yang diterima daripada pihak operator pada jam 10.18 pagi kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATC) melaporkan bahawa helikopter akan mendarat di tapak pendaratan," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kemalangan tersebut turut melibatkan seorang kru darat manakala seorang juruterbang helikopter berkenaan dilaporkan selamat.
"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016," jelas kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kejadian yang berlaku di Batu 8 Jalan Lama Kuala Lumpur - Bentong menyebabkan kru darat maut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

