Anggota tentera ditahan, jual senjata tiruan secara online

IPOH - Seorang anggota tentera ditahan selepas didapati memiliki lebih 10 laras senjata api tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Kem Syed Putra dekat Jalan Tambun di sini pada Selasa.
Penahanan anggota berusia 34 tahun dari Pasukan 2 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja itu dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sekitar jam 12.30 malam.
Difahamkan, anggota tersebut bersiaran secara langsung melalui aplikasi TikTok mempromosikan dan menjual beberapa peralatan iaitu senjata tiruan.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak dua tahun lalu dengan memperoleh peralatan melalui ejen di Pahang.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tujuh unit slingshot menyerupai senapang.
Menurutnya, turut dijumpai, empat unit busur silang (crossbow), enam jenis anak panah dengan setiap jenis mempunyai lima anak panah dan 300 biji bebola galas (ball bearing).
"Semakan mendapati, lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga adalah negatif dadah.
"Tempoh reman telah diperoleh selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang memiliki senjata buatan sendiri atau tanpa lesen.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang berkenaan pemilikan dan penggunaan senjata api seumpama ini," katanya.
Pihaknya turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
@sinarharianonline Seorang anggota tentera ditahan selepas didapati memiliki lebih 10 laras senjata api tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Kem Syed Putra dekat Jalan Tambun di sini pada Selasa. Penahanan anggota berusia 34 tahun dari Pasukan 2 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja itu dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sekitar jam 12.30 malam. Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #SinarHarian #SinarTerkini #Jenayah #Polis
Criminals - F.O.O.L
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

