'Saya beli senjata itu untuk bermain dengan anak di rumah'

Tertuduh (tengah) mengaku bersalah kerana memiliki dua laras senapang tiruan tanpa lesen yang sah.
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah kerana memiliki dua laras senapang tiruan tanpa lesen yang sah.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang penghantar barang dan makanan dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana memiliki dua laras senapang jenis rifle separa automatik tiruan tanpa lesen yang sah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Mohd Nasir Othman, 47, didakwa memiliki selaras senapang tertera tulisan Combact Machine Cal. 7-8mm Water Bullet Gun dan selaras senapang tertera tulisan Property of U.S. Govt. M4A1 Carbine Cal. 5.56mm M010805 tanpa lesen yang sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Lintang Bayan 6, Sungai Ara, Bayan Lepas pada jam 9 pagi, 6 Januari lalu.

Oleh demikian, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya, R Lushini di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), Edmund Anthony Hermon.

Dalam rayuannya, Edmund memohon denda minimum berikutan tertuduh perlu menanggung isteri dan enam anaknya yang kesemuanya masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Pegawai penyiasat membawa dua laras senapang tiruan yang dirampas daripada tertuduh untuk didakwa di mahkamah.
Pegawai penyiasat membawa dua laras senapang tiruan yang dirampas daripada tertuduh untuk didakwa di mahkamah.

"Saya memohon mahkamah menetapkan denda yang minimum berikutan tertuduh mempunyai dua orang isteri dan enam orang anak.

"Isterinya tidak bekerja, tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan gaji bulanan RM1,200.

"Tertuduh tidak tahu bahawa senjata itu berbahaya kerana ia menggunakan peluru berasaskan gel. Tambahan pula, ini adalah kesalahan pertama tertuduh," katanya.

Sementara itu, tertuduh ketika ditanya Huey Ting berhubung tujuan membeli senjata tersebut berkata, dia membeli senjata itu untuk bermain dengan anaknya yang berusia 11 tahun di rumah.

"Saya beli di TikTok untuk bermain dengan anak saya. Saya tidak tahu senjata itu berbahaya kerana ia hanya menggunakan peluru 'water gel based'.

Sementara itu, dalam penghakimannya, Huey Ting menasihati tertuduh agar tidak membeli mainan dalam talian sebaliknya membelinya di kedai mainan.

"Awak tahu tak, jika peluru gel diganti dengan peluru besi, ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam? Mengapa beli permainan senjata seperti ini di TikTok?

"Lain kali beli di kedai mainan, bukan dalam TikTok," katanya.

Beliau kemudiannya menetapkan denda terhadap tertuduh sebanyak RM1,800 dan sekiranya gagal bayar, dia boleh dikenakan penjara selama sebulan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!