Kenyataan Gerakan berisiko jejas hubungan dengan PN

SHAH ALAM - Kenyataan pemimpin Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengkritik DAP kerana hanya berdiam diri apabila Kerajaan Perpaduan terus memperjuangkan kepentingan Melayu Islam di Malaysia, berisiko menjejaskan hubungan parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) pada masa hadapan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ini kerana dua sekutu Gerakan dalam PN iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah pejuang tegar kepentingan orang Melayu Islam semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Kenyataan pemimpin Gerakan tersebut bakal menyebabkan hubungannya dengan pemimpin Pas dan Bersatu semakin dingin, kedua-dua parti berkenaan menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15 lalu di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu Islam.
“Oleh itu, jika perang dingin ini berterusan maka tidak mustahil ramai pemimpin Pas dan Bersatu akan bangkit memberi cadangan supaya Gerakan disingkirkan daripada gabungan PN,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong yang mendakwa DAP kini lebih suka berdiam diri dan tidak lagi menentang dasar mengutamakan kaum Melayu dan Islam setelah menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan.
Kritikan itu timbul apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak pernah membantah kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam sejak tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Mohammad Tawfik berkata, kenyataan Gerakan itu turut berisiko menjadikan parti berkenaan ibarat duri dalam daging kepada PN.
Menurutnya, terdapat kemungkinan besar status Gerakan dalam PN akan dikaji semula.
Katanya, hal ini susulan kewujudan Gerakan tidak menguntungkan PN kerana parti itu hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kulim, Kedah dan kalah semua kerusi Parlimen ditandingi semasa PRU15 lalu.
“Oleh itu, ada kemungkinan besar PN mempertimbangkan untuk menyingkirkan Gerakan daripada koalisi berkenaan.
“Ini kerana pemimpin parti ini selalu mencetuskan kontroversi dan tidak memberi keuntungan menarik undi bukan Melayu terutama kaum Cina terhadap pakatan pembangkang.
“Lebih baik PN tawar tempat kepada MCA untuk masuk PN berbanding mengekalkan Gerakan. MCA jauh lebih lunak dan selari dengan dasar serta perjuangan PN,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
