'Langkah mayat kami jika mahu tentang dasar Islam' - Dr Akmal

Dr Akmal Saleh.
Dr Akmal Saleh.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sesiapa pun boleh cuba menggugat perkara tersebut (dasar Islam), langkah mayat kami dahulu, tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

Beliau membidas kenyataan Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong yang mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar Islam negara.

Dr Akmal menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Saya ingin bertanya kepada Timbalan Presiden Gerakan ini, apakah maksud beliau apabila mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar Islam negara?

“Adakah kamu tidak bersetuju apabila DAP tidak mengkritik dasar Islam negara?

"Adakah kamu berniat untuk menentang dasar-dasar Islam negara ini?” tegasnya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Dr Akmal berkata, sepatutnya bila DAP dikatakan tidak menentang dasar Islam negara, Tong Keong perlu menyokong kerana di dalam Perlembagaan jelas memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Jelasnya, tiada sesiapa pun boleh mencabar kedudukan Islam dalam negara ini, apatah lagi cuba menggugat dasar-dasar yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Dr Akmal dalam pada itu menyeru seluruh umat Islam dan masyarakat Melayu untuk terus bersatu bagi mempertahankan hak dan kepentingan yang telah terjamin dalam sistem pemerintahan negara ini.

"Bersatulah wahai bangsaku,kaduk semakin naik junjung,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri menerusi kenyataan di Facebooknya turut menegaskan bahawa dasar negara ini adalah Islam, sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dasar negara ini adalah Islam kerana Perlembagaan mencatatkan Islam sebagai agama negara, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Ia jelas menunjukkan kedaulatan Islam.

"Tiada yang perlu dan boleh dikompromi dalam isu ini. Ia asas bernegara bagi Malaysia. Itu keimanan kami sebagaimana sejarah panjang dasar bernegara bagi sembilan negeri-negeri Melayu sejak ratusan tahun yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

"Siapa pun dan daripada parti mana sekalipun tidak boleh merungkai perkara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!