Wajarkah penetapan gaji minimum ikut negeri dilaksanakan?

Kerajaan menetapkan gaji minimum baharu daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Kerajaan menetapkan gaji minimum baharu daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari lalu.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PELAKSANAAN gaji minimum baharu daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari lalu memanfaatkan 4.37 juta pekerja.

Ia memberi kelegaan dan semangat baharu kepada pekerja selain turut meringankan beban serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Bagaimanapun, perkara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi antaranya ada pihak meminta kerajaan mempertimbangkan penyusunan kadar gaji minimum mengikut negeri dengan mengambil kira perbezaan keadaan sosioekonomi dan demografi setempat.

Menurut Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Ying Pyng, pelaksanaan skim gaji berkenaan adalah pilihan lebih baik berbanding dasar semasa dengan mempertimbangkan perbezaan kos sara hidup, pembangunan ekonomi dan keadaan pasaran buruh di peringkat serantau.

Beliau berpendapat, kenaikan gaji minimum perlu seiring dengan pertumbuhan produktiviti yang dicapai melalui peningkatan kemahiran dan latihan untuk memastikan kos pengeluaran produk serta perkhidmatan kekal rendah.

Namun, timbul pula pelbagai pandangan mengenai cadangan ini yang mengundang persoalan keberkesanannya dalam memastikan kesejahteraan pekerja dalam negara terjamin.

SOKONG

Penyelarasan gaji mengikut kos sara hidup

Dengan menetapkan gaji minimum mengikut negeri dapat membantu meningkatkan kos sara hidup terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Pekerja di kawasan kos sara hidup tinggi akan mendapat gaji sesuai dengan keperluan mereka lebih-lebih lagi apabila berlakunya peningkatan harga barang.

Penetapan gaji minimum lebih tinggi di negeri maju membolehkan pekerja menampung beberapa kos yang bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka tetapi turut mengurangkan masalah ketidakseimbangan sosial akibat tidak mampu memenuhi keperluan asas.

Oleh itu, mereka lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan sekali gus memberi peluang untuk meningkatkan taraf hidup serta mencapai kestabilan ekonomi.

Gosvindraj Munusamy
Gosvindraj Munusamy

- Gosvindraj Munusamy, 27, pekerja swasta

Meningkatkan kualiti kerja, produktiviti

Apabila pekerja menerima gaji yang setimpal dengan kos hidup setempat, mereka akan berasa lebih dihargai dan bersemangat untuk bekerja dengan baik serta cenderung untuk meningkatkan kualiti kerja dihasilkan.

Ia secara tidak langsung boleh meningkatkan produktiviti secara keseluruhan yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih mampan untuk sesebuah negeri.

Bahkan, pekerja yang menerima gaji setimpal juga boleh mengurangkan risiko berhenti kerja atau kadar peralihan yang boleh mengganggu operasi dalam sesetengah syarikat.

Mereka yang dibayar gaji secara adil juga akan lebih cenderung untuk terus kekal bekerja sekali gus mengurangkan kadar peralihan pekerja serta memberi kestabilan kepada syarikat.

Kadar peralihan yang rendah menunjukkan syarikat dapat mengekalkan tenaga kerja yang berpengalaman dan mahir seterusnya meningkatkan kelancaran dalam proses pekerjaan.

Ummu Fatihah Adnan
Ummu Fatihah Adnan

- Ummu Fatihah Adnan, 27, pekerja swasta

BANGKANG

Ramai pekerja 'lari' mengejar gaji lebih tinggi, negeri kurang maju akan terus mundur

Penduduk dari negeri gaji minimum rendah berkemungkinan akan `lari' berpindah ke negeri-negeri lebih maju untuk mendapatkan gaji lebih tinggi.

Walaupun ia kelihatan seperti peluang baik bagi pekerja mendapatkan pendapatan setimpal, namun mengundang kesan negatif terhadap pasaran tenaga kerja di negeri-negeri kurang maju dan akhirnya membantutkan pembangunan ekonomi.

Akibatnya, sektor ekonomi seperti pertanian, perkilangan atau perkhidmatan awam mungkin menghadapi kekurangan tenaga kerja yang diperlukan untuk berkembang.

Pengurangan jumlah pekerja ini juga boleh mengundang ketidakseimbangan pembangunan antara negeri, contohnya mereka yang memilih berhijrah ke bandar akan menyukarkan usaha untuk memastikan kemajuan lebih seimbang di seluruh negara.

Peningkatan jumlah pekerja di negeri bergaji minimum lebih tinggi turut meningkatkan beban kepada infrastruktur dan perkhidmatan di negeri tersebut termasuk sektor perumahan, pengangkutan serta kemudahan awam.

Muhammad Zulhairi
Muhammad Zulhairi

- Muhammad Zulhairi Abd Aziz, 27, pekerja swasta

Tiada pelaburan jejas ekonomi negeri kurang maju

Salah satu cabaran utama bagi negeri-negeri kurang maju adalah daya saing dalam menarik pelaburan asing atau domestik.

Jika negeri kurang maju mengenakan gaji minimum lebih rendah daripada negeri maju ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam kos pengeluaran dan kualiti tenaga kerja.

Walaupun gaji lebih rendah berkemungkinan akan mengurangkan kos operasi terutama untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) namun masih tidak mencukupi untuk menarik pelaburan jangka panjang dalam sektor yang memerlukan kemahiran atau teknologi tinggi.

Sebaliknya, pelaburan lebih tertumpu kepada negeri maju di mana sudah tentunya terdapat lebih banyak insentif, infrastruktur yang baik serta akses kepada pasaran global lebih luas.

Akhirnya, perkembangan ekonomi di negeri-negeri kurang maju boleh menjadi lambat dan pekerja masih dalam fasa kemiskinan.

Mohd Amir
Mohd Amir

- Mohd Amir Azizi Razeis,24, lepasan ijazah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!