Buruh tak mengaku rogol anak kandung

TELUK INTAN - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Rabu atas pertuduhan pindaan merogol anak perempuannya, tahun lalu.
Tertuduh berusia 57 tahun membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Mengikut pertuduhan, duda itu didakwa telah merogol anak kandung ketika itu berusia 21 tahun di sebuah rumah sekitar jam 12.30 tengah malam pada November 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan yang menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan saksi pendakwaan lain.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan bekerja memotong buah sawit dengan upah RM300 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes disebut semula pada 7 Mac depan.
Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya sejak 10 tahun lalu.
Perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa yang berusia 21 tahun berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis.
Mangsa yang bekerja sebagai operator kilang mendakwa suspek telah beberapa kali melakukan perbuatan itu sejak dia berusia 11 tahun dan kali terakhir dilakukan pada 17 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
