Sains tanggung 80 peratus liabiliti kecuaian mangsa kemalangan maut

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memutuskan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menanggung 80 peratus liabiliti kecuaian kemalangan maut membabitkan seorang wanita, lima tahun lalu.
Ia mengubah keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada 10 Jun 2024 yang memerintahkan syarikat itu bertanggungan 70 peratus manakala si mati menyumbang salah sebanyak 10 peratus.
Bagaimanapun liabiliti terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan Malaysia kekal 20 peratus.
Hakim, Wan Fadhilah Wan Idris membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan suami kepada mangsa, Luqman Hakim Hendon, 45, bersama anak Allahyarham Norhamizah Mahadi, 34, yang dikemukakan pada 12 Jun 2024.
Wan Fadhilah turut memutuskan kos kehilangan tanggungan dinaikkan kepada RM144,000, kos perubatan sebanyak RM7,200 dibenarkan dan pampasan bagi kecederaan kepala dinaikkan dari RM10,000 ke RM30,000.
Mengikut fakta kes, kemalangan berlaku pada 12 Februari 2020 di Kilometer 28, Jalan Tampin-Gemas, ketika Norhamizah sedang memandu kereta bersama suaminya.
Ketika dalam perjalanan, kenderaan mereka telah melanggar lubang besar di lokasi menyebabkan kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
Insiden itu mengakibatkan Norhamizah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Luqman Hakim mengalami cedera parah.
Siasatan mendapati, lubang tersebut berpunca daripada kecuaian dalam penyelenggaraan paip bawah tanah dan jalan raya oleh pihak Sains serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Siasatan juga mendapati, lubang tersebut ditakungi air berpunca daripada paip air bawah tanah milik Sains yang pecah.
Keluarga mangsa telah memfailkan tuntutan terhadap Sains dan JKR serta kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Plaintif diwakili barisan peguam dari Tetuan Ariff Abu Bakar & Co iaitu Muhammad Ariff Abu Bakar, Muhammad Aizat Akmal Zamri dan Anis Aqilah Ashbakhri.
Sains pula diwakili Aisha Jothilingam dari Tetuan Ganesalingam Vijayaratnam & Aisha Jothalingam manakala JKR dan kerajaan Malaysia diwakili oleh Peguam Persekutuan Mohamad Shafiq Mohd Sazalli.
Sementara itu, peguam plaintif berkata, keputusan itu menunjukkan pentingnya tanggungjawab pihak berkuasa dalam memastikan jalan raya selamat dan diselenggara dengan baik.
Katanya, keputusan itu juga dapat memberikan keadilan kepada keluarga mangsa serta menjelaskan prinsip liabiliti dalam kes kecuaian infrastruktur awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

