Unit Integriti JBPM Putrajaya, #RasuahBusters bergabung

SHAH ALAM - Unit Integriti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya secara rasminya bergabung dengan #RasuahBusters bagi membanteras elemen rasuah serta penyalahgunaan kuasa dalam kalangan bomba di seluruh negara.
Ketuanya, Syed Azman Syed Ghazali berkata, objektif kolaborasi itu dibuat bertujuan menurunkan kadar rasuah dan salah laku dalam JBPM di samping membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan melaksanakan program yang lebih berimpak tinggi melibatkan masyarakat umum.
Menurut beliau, kerjasama itu sedikit sebanyak menyumbang kepada penurunan kadar jenayah rasuah di negara ini sekali gus mampu meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di peringkat global.
"Sebab itulah Unit Integriti JBPM Putrajaya mengadakan kerjasama dengan #RasuahBusters supaya kita boleh rancang strategi atau program yang beri kesan mendalam bukan hanya dalam kalangan bomba, tetapi juga masyarakat.
"Saya tercari-cari NGO yang aktif dan konsisten membanteras rasuah. Jadi, saya terus tertarik dengan #RasuahBusters memandangkan aktivitinya menarik serta bagus seperti program pertandingan video pendek.
"Setakat ini, kita hanya jalankan program nasional peringkat jabatan misalnya Hari Integriti, itupun secara dalaman sahaja. Menerusi kolaborasi ini, mungkin boleh usahakan dengan lebih meluas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Kunjungan hormat Syed Azman turut ditemani beberapa pegawai Unit Integriti JBPM Putrajaya iaitu Mazila Abdull Mutalib, Alias Musa dan Mohd Azuan Abu Hassan yang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters, Nurhayati Nordin.
Ditanya mengenai harapan JBPM selepas ini, Syed Azman membayangkan graf dalaman Unit Integriti JBPM menurun menandakan kadar rasuah dan salah guna kuasa semakin berkurangan.
"Kalau graf menurun, itu tandanya bagus. Selain itu, kita nak bersama masyarakat juga kerana selama ini sering kolaborasi dengan agensi kerajaan sahaja.
"Jadi kolaborasi ini memenuhi keinginan dan kita dapat jalankan aktiviti yang memberi kesedaran awam, lebih-lebih lagi JBPM ada ramai staf lebih kurang 15,000 orang di seluruh negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

