Jumlah penerima bantuan sekolah meningkat setiap tahun - NGO

MACHANG - Penerima bantuan persekolahan meningkat setiap tahun kerana kebanyakan ibu bapa terbeban dengan kos pakaian dan barangan keperluan itu terutama jika ramai anak masih bersekolah.
Setiausaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Ahmad Amry Mukhsynin Zaki berkata, justeru Persatuan Kampung Bandar Tercinta berusaha mempelbagaikan bentuk bantuan kepada ibu bapa B40 di sekitar daerah itu.
Jelas beliau, tahun lalu mereka menyampaikan 50 beg sekolah kepada kanak-kanak tetapi membuat keputusan meningkatkan jumlah kepada 70 orang di tiga mukim iaitu Mukim Bandar, Kerawang dan Lahar.

"Kita akan berusaha meningkatkan dana melalui sumbangan orang ramai dan syarikat korporat bagi menambah pelbagai jenis bantuan yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Beg Sekolah Percuma Oleh Persatuan Kampung Bandar Tercinta di sini pada Rabu.
Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Azhar Salleh.
Hadir sama, Penyelaras Perhubungan Awam Yakult Malaysia, Nik Rozianee Nik Mustapha yang turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai penjagaan kesihatan kanak-kanak.
Ahmad Amry Mukhsynin memberitahu, sumbangan beg sekolah membabitkan kos lebih RM2,000 itu diharap dapat membantu meringankan beban ibu bapa terbabit.
Sementara itu, Nik Rozianee ketika ditemui memberitahu, sebanyak 90 peratus kanak-kanak berusia setahun dan ke atas mengalami masalah sembelit dan pencernaan yang memerlukan perhatian ibu bapa.
Menurutnya, kebanyakan masalah itu berpunca daripada gaya hidup keluarga terutama membabitkan ibu bapa yang bekerja.
Beliau berkata, ada antara kanak-kanak terbabit tidak mendapat makanan seimbang dan selalu diberi makanan proses dan minuman manis.
"Selalunya ibu bapa yang bekerja akan membeli makanan sedia proses dan tinggi bahan pengawet untuk anak-anak tanpa menyedari kesan sampingan termasuk sembelit," katanya.
Jelas beliau, organisma hidup dalam probiotik dapaf memberi keselesaan kepada perut kanak-kanak supaya mereka lebih aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
